Jambatan Sultan Nazrin Shah beri manfaat kepada penduduk setempat – Ahmad Zahid

BAGAN DATUK – Pembukaan Jambatan Sultan Nazrin Shah kepada kenderaan awam pada Mei lalu memberi manfaat kepada penduduk setempat terutama membabitkan Daerah Bagan Datuk dan Perak Tengah. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata malah Pekan Bagan Datuk turut semakin meriah selepas jambatan yang merentasi Sungai Perak itu siap dibina. 

“Dengan adanya jambatan ini, rakyat jelata dapat menikmati jarak perjalanan yang lebih pendek iaitu pengurangan perjalanan sekitar 50 kilometer (km) dengan penjimatan masa sebanyak lebih sejam. 

“Jadi maksudnya, sekarang hanya mengambil masa kurang dari 15 minit sahaja dengan adanya jambatan ini. Jambatan Bagan Datuk (kini Jambatan Sultan Nazrin Shah) juga merupakan satu ikon dan kebanggaan kepada daerah ini. 

“Ini kerana ia telah dikurniakan anugerah The Malaysia Book of Records Tahun 2023 dengan pencapaian Laluan Papak Bertingkat Atas Cerucuk Yang Terpanjang (Longest Elevated Pile Slab Carriageway) dan Bilangan Titik Cerucuk Terbanyak bagi Laluan Papak Bertingkat Atas Cerucuk (Most Pile Points on Elevated Pile Slab Carriageway),” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan pada Majlis Perasmian Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini, pada Sabtu. 

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenaan berangkat merasmikan majlis. 

Hadir sama, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri  Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sultan Nazrin turut berkenan memasyhurkan nama Jambatan Bagan Datuk kepada Jambatan Sultan Nazrin Shah. 

Jambatan yang dibina dengan kos RM470 juta itu melibatkan laluan sepanjang 10.5 km yang mana sebahagian 1.5 km menyeberangi Sungai Perak. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI