Bandar Baharu Bagan Datuk dijangka siap seawal 2027

BAGAN DATUK – Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan bakal membangunkan bandar baharu Bagan Datuk di kawasan seluas 155.8 hektar yang dijangka siap dalam tempoh lima tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembangunan projek berhampiran Jambatan Sultan Nazrin itu ,akan menempatkan kompleks pentadbiran jabatan Persekutuan dan juga di bawah kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, pembangunan berkenaan turut meliputi pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Pejabat Pendidikan Daerah dan beberapa agensi lain.

“Setakat ini projek tersebut dalam usaha pengambilalihan tanah dan peruntukannya akan diselaraskan oleh pejabat daerah dan tanah yang diperoleh daripada kementerian, jabatan serta agensi terlibat termasuk jabatan di bawah kerajaan negeri.

“Pembangunan bandar baharu ini penting memandangkan pekan sedia ada tidak boleh diperkembangkan susulan ketiadaan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan pameran mini dan menyerahkan kit perniagaan Pihak Berkuasa Pelaksana Koridor Utara (NCIA) di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sudah menerima beberapa peruntukan untuk membina jejambat di pekan Simpang Empat di Hutan Melintang.

Ujar beliau pembinaan berkenaan dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak dan ketika cuti hari perayaan.

“Jejambat ini merupakan perubahan yang rakyat harapkan selepas sekian lama dan di bawah Kerajaan Madani perkara itu telah dapat diberikan kesinambungan di samping jalan empat lorong daripada Simpang Empat hingga ke pekan Bagan Datuk melibatkan peruntukan RM500 juta,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Jambatan Sultan Nazrin Shah beri manfaat kepada penduduk setempat – Ahmad Zahid

 

 

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI