Jerebu: Perak pantau IPU, sedia laksana PdPR jika sekolah terpaksa ditutup

IPOH – Semua sekolah di Perak masih beroperasi seperti biasa berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negeri itu belum mencapai paras 180 yang ditetapkan bagi membolehkan penutupan sekolah.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, bagaimanapun, penutupan sekolah di daerah atau kawasan tertentu mungkin berlaku minggu depan sekiranya bacaan IPU melebihi paras 180.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah bersedia untuk melaksanakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya sekolah terpaksa ditutup akibat keadaan jerebu.

“Di Perak saya difahamkan, bacaan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) belum lagi mencapai 180 untuk ditutup pada esok (Jumaat).

“Dalam masa tiga hari ini, mungkin ada sekolah ataupun daerah yang akan ditutup bila IPU mencapai 150 kat atas dan seperti dalam pekeliling juga, bila berlakunya penutupan tidak bermakna proses pembelajaran dan pengajaran tidak berlaku.

“Maksudnya, kita akan balik ke semasa zaman COVID itu, pembelajaran berlainan rumah, PdPR. JPN dan PPD telah bersiaga dengan kaedah dan konsep supaya proses pembelajaran berjalan seperti biasa,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat Perdana Calon Peperiksaan Awam Peringkat Negeri Perak 2026 di Laman Seri Ridzuan, malam tadi.

Dalam pada itu, Khairudin turut meminta ibu bapa supaya memahami garis panduan penutupan sekolah bagi mengelakkan kekeliruan susulan maklumat yang tersebar di media sosial.

Tambahnya, kerjasama ibu bapa penting bagi memastikan langkah kawalan yang ditetapkan pihak berkuasa dapat dilaksanakan demi keselamatan dan keselesaan murid.

“Saya menyeru dan merayu kepada ibu dan ayah kena memahami bahawa pihak pentadiran khususnya JPN, Kementerian Pendidikan (KPM) mereka ada langkah-langkah kawalan, ada langkah-langkah pencegahan jika benda ini berlaku.

“Cuma sebagai ibu dan ayah, kita kena bersama menyokong hasrat dan juga tatakelola yang dibuat oleh KPM untuk keselamatan dan juga keselesaan pelajar,“ jelasnya.

Semalam media melaporkan, sekolah di lima negeri termasuk satu daerah diarahkan tutup hari ini melibatkan Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Rompin di Pahang.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya sekolah di kawasan-kawasan yang terjejas akibat jerebu ditutup bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Ibu bapa perlu maklum sekolah jika anak tidak hadir ketika jerebu – Kah Woh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI