JIWAKU 2026 perkasa generasi TVET hayati warisan dunia Lenggong

LENGGONG – Program Jalinan Warisan Kebangsaan dan UNESCO (JIWAKU) 2026 menjadi platform memperkasa generasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penghayatan warisan dunia dalam membentuk pelajar yang berjati diri, berbudaya dan menghargai khazanah negara.

Program tahunan anjuran Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan pelajar daripada Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) seluruh negara.

Selama dua hari, pelajar didedahkan dengan pembelajaran berasaskan pengalaman di Tapak Warisan Dunia UNESCO Lenggong di sini dengan memberi penekanan kepada penerokaan sejarah, budaya, geologi dan kehidupan komuniti setempat sebagai pelengkap pendidikan TVET.

Program dimulakan dengan Bengkel Seni Warisan Budaya Negeri Perak yang memperkenalkan seni persembahan tradisional seperti Tarian Dabus dan Lenggok, dengan memberi pendedahan kepada peserta mengenai nilai seni serta identiti budaya masyarakat Melayu di negeri ini.

Pada hari kedua, peserta menyertai pelbagai aktiviti pendidikan lapangan termasuk lawatan ke Galeri Lenggong Geopark, Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Tapak Budaya dan Warisan Kampung Chepor serta eksplorasi Geotrail Berkeley melalui aktiviti caving.

Turut diadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Santuni Warisan bersama komuniti setempat yang bertujuan menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman sebenar selain meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemuliharaan warisan dan kelestarian alam sekitar.

Pengarah PSAS, Razali Johari berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen institusi TVET dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek kemahiran profesional, malah memiliki nilai kepimpinan, patriotisme dan tanggungjawab sosial.

Menurutnya, warisan negara merupakan khazanah yang tidak ternilai dan perlu dipelihara oleh generasi muda melalui pendekatan pembelajaran yang lebih dekat dengan pengalaman sebenar.

“Melalui JIWAKU 2026, kami mahu generasi TVET bukan sahaja menguasai ilmu dan kemahiran, malah memahami sejarah serta menghargai identiti negara.

“Apabila pelajar melihat, menyentuh dan mengalami sendiri warisan dunia di Lenggong, proses pembelajaran menjadi lebih bermakna dan mampu membentuk generasi yang berpengetahuan, berjati diri serta bertanggungjawab memelihara warisan untuk masa depan,” katanya.

Katanya, bertemakan ‘Joh Ke Lenggong, Kenali Warisan Kito’, program itu turut memperkukuh kerjasama antara politeknik, kolej komuniti, agensi kerajaan, institusi warisan, penggiat pelancongan dan komuniti setempat.

“Selain itu ia secara tidak langsung menyokong aspirasi KPT serta agenda Malaysia MADANI dalam melahirkan modal insan berilmu, beridentiti nasional dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PSAS catat rekod tertinggi, terima 1,213 pelajar baharu sesi 2026/2027

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI