IPOH – Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta bertindak menutup sepenuhnya Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai – Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 43.40 untuk laluan kenderaan hari ini susulan insiden tanah runtuh yang berlaku Rabu lalu.
JKR menerusi kenyataan media pada Jumaat memaklumkan, cadangan untuk penutupan jalan itu berkuatkuasa bermula jam 5 petang hari ini bagi mengelakkan risiko kemalangan jiwa.
“Siasatan lanjut akan dijalankan oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR bagi mengenalpasti punca runtuhan dan kaedah pembaikan yang akan dilaksanakan.
“Pemantauan berterusan turut dijalankan sebagai langkah persediaan awal untuk sebarang kemungkinan yang berlaku,“ jelas kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut berkata, terdahulu, berdasarkan laporan yang diterima runtuhan yang berlaku pada jam 8 malam Rabu lalu itu telah menutup satu lorong menghala ke Simpang Pulai.
“Kita (JKR) dan pihak konsesi Jalan Persekutuan telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pasukan ke lokasi kejadian bagi siasatan dan penyediaan keperluan kawalan trafik di lokasi kejadian.
“Pelan Pengurusan Trafik (TMP) di lokasi kejadian di pasang serta-merta dengan penutupan sepenuhnya satu (1) lorong dengan kawalan dan pemantauan 24 jam dari pihak konsesi.
“Pemantauan mendapati runtuhan cerun masih aktif sepanjang masa walaupun cuaca baik dan dikhuatiri akan bertambah buruk sekiranya hujan.
“Situasi ini mendatangkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya kerana kemungkinan runtuhan pada skala besar akan berlaku jika pergerakan tanah masih berlarutan,“ ujar kenyataan itu.
Katanya, kenyataan tindakan jangka pendek Notis Penutupan Jalan Satu Lorong telah dikeluarkan berkuatkuasa serta-merta dan pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif FT059 Jalan Tapah – Cameron Highlands sebagai jalan perhubungan sementara.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penutupan tersebut memberikan laluan kepada kerja-kerja pembersihan jalan yang dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.
“Penutupan jalan ini dilaksanakan susulan masih terdapat pergerakan tanah berlaku di kawasan lokasi yang terjejas dan laluan amat berisiko untuk dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Sehubungan dengan itu, polis telah menjalankan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan yang terjejas dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan: