IPOH – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak telah melaksanakan 138 Program Jualan Agro MADANI (JAM) dengan nilai jualan berjumlah RM3.64 juta sepanjang tahun 2024.
Unit Korporat FAMA Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan jualan yang diadakan di pelbagai lokasi seperti premis kerajaan, kawasan perumahan dan lokasi tumpuan penduduk serta memberi manfaat kepada 84,478 pengunjung.
Menurutnya, jualan itu membolehkan pelanggan menikmati penjimatan sehingga 30 peratus bagi keperluan harian mereka.
“Program ini bertujuan meningkatkan kebolehdapatan dan ketersediaan bekalan makanan, selain memastikan harga yang lebih mampu milik bagi pengguna.
“Selain itu, ia berperanan sebagai mekanisme kawalan harga pasaran dalam situasi lebihan hasil pertanian, sekali gus membantu kestabilan ekonomi para petani dan pengeluar tempatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kenyataan itu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui FAMA mengadakan Program JAM di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi membantu rakyat mendapatkan bekalan produk makanan segar pada harga yang lebih berpatutan.
Katanya, perasmian program telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan antara komoditi yang ditawarkan termasuk ayam, ikan, daging, buah-buahan, sayur-sayuran, barangan kawalan serta keperluan runcit harian.
Tambahnya, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim turut hadir pada jualan tersebut.
“Penganjuran JAM@SUK ini turut memberi manfaat kepada petugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), kakitangan pejabat sekitar, serta penduduk setempat yang dapat membeli barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.
“FAMA menganggarkan nilai jualan di SUK bagi sesi ini mencecah RM60,000 dan berhasrat untuk menganjurkan program ini secara bulanan di lokasi yang sama.
“Kerajaan negeri komited dalam menyokong inisiatif seperti ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.
“Diharapkan program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat dan memberi impak positif kepada ekosistem bekalan makanan di negeri ini,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: