Kaedah perikanan Perak akan dipinda, susulan ancaman spesies ikan asing

PARIT – Jabatan Perikanan Negeri Perak sedang mengkaji dan meneliti semula Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992 bertujuan menambah baik kaedah tersebut supaya relevan dengan keadaan semasa selaras dengan peruntukan undang-undang.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, proses mengemaskini kaedah tersebut dilakukan susulan kehadiran pelbagai spesis ikan asing di sungai-sungai sekitar Perak.

Menurutnya, antara sebab kaedah tersebut perlu dipinda termasuklah bagi mengawal aktiviti pelepasan ikan asing oleh individu atau pertubuhan yang tidak terkawal serta bagi memulihara ikan asli di perairan sungai di negeri ini.

“Apabila proses kajian selesai, penambahbaikan itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk mendapat kelulusan dan seterusnya ke persidangan Dewan Undangan Negeri untuk meminda kaedah berkenaan.

“Pada tahun ini kita tak sempat (bawa ke Sidang DUN) mungkin tahun hadapan. InsyaAllah kita dapat membantu mengawal ikan asing daripada bemaharajalela di sungai, kolam, kawasan lombong dan sebagainya bukan sahaja di Sungai Perak malah sungai-sungai besar lain di negeri ini,“ katanya.

Kaedah perikanan Perak akan dipinda, susulan ancaman spesies ikan asing
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun melepaskan benih ikan lampam, baung dan udang galah ke Sungai Perak pada Majlis Perasmian Penutup Program Memburu Ikan Asing Tahun 2024 di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2024.

Beliau berkata pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Program Memburu Ikan Asing di Dewan Terbuka Ngah Sagor, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata, terdapat kes melibatkan penggemar ikan yang mempunyai terlalu banyak ikan terkumpul selepas mendapati ikan peliharaan terlalu besar dan sukar diuruskan, mereka terpaksa melepaskannya ke sungai atau tasik.

Tambahnya, aktiviti pelepasan ikan di perairan sungai untuk ritual keagamaan termasuk membayar nazar atau hajat antara faktor yang mengundang lambakan ikan di perairan negara.

“Justeru, Jabatan Perikanan Negeri Perak akan mengadakan pertemuan dengan penjual ikan hiasan dan ikan asing untuk kita beri pandangan nasihat apakah spesis ikan yang boleh dijual yang tidak boleh dijual dan tidak boleh dilepaskan di sungai, lombong dan sebagainya.

“Terdapat juga penganut bukan Islam menggunakan ikan asing yang dibeli di kedai hiasan tetapi akan dilepaskan di sungai, lombong dan sebagainya. Kesan daripada itu adalah habitat semula jadi spesis Sungai Perak terancam.

“Jadi, kita akan berjumpa juga dengan wakil kuil dan tokong supaya kita dapat memperjelaskan kepada mereka apa perkara mereka boleh lakukan sewaktu melakukan nazar atau hajat,“ jelasnya.

Kaedah perikanan Perak akan dipinda, susulan ancaman spesies ikan asing
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun pada sidang media Majlis Perasmian Penutup Program Memburu Ikan Asing Tahun 2024 di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit. Foto ABDULLAH YUSOF, 08 SEPTEMBER 2024.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa spesies ikan di Sungai Perak, Tasik Bukit Merah dan Tasik Temenggor diancam kepupusan akibat kewujudan ikan asing.

“Antara spesies ikan yang mengalami kepupusan termasuklah ikan kelah, temoleh, kelisa, lampam sungai, bujuk dan patin buah yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

“Berdasarkan maklumat terkini, pelbagai ancaman yang menyebabkan populasi ikan asli di Perak semakin menurun dan menjurus ke arah kepupusan disebabkan telah dimakan oleh ikan asing.

“Kalau ini tidak dapat dibendung, ia bukan sahaja menjejaskan spesis habitat semula jadi ikan di Perak tetapi turut menjejaskan pendapatan nelayan,“ ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perikanan sita tiga vesel bernilai RM2.5 juta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI