Kebakaran terbuka melonjak kepada 250 kes sehari

IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan 250 kes kebakaran terbuka sehari susulan cuaca panas dan kering yang berlaku di negara ini sejak minggu lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu meningkat berbanding 40 ke 60 kes sehari yang direkodkan pada minggu sebelum ini.

Menurutnya, taburan hujan yang berkurangan diramal menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih kering dan panas sepanjang Ramadan sehingga awal April ekoran fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini.

“Kebiasaannya kita menerima antara 40 ke 60 kes kebakaran terbuka tetapi sejak minggu lalu kita mula merekodkan lebih kurang 250 kawasan berlaku insiden kebakaran terbuka.

“Di Malaysia, terdapat 652 kawasan kebakaran terbuka. Pembakaran terbuka merangkumi empat kategori melibatkan sampah, belukar, hutan dan gambut.

“Justeru, saya memohon kepada masyarakat supaya jangan memulakan kebakaran. Keduanya ialah kalau ada nampak (kebakaran) walaupun kecil maklumkan kita dengan segera supaya kita dapat ambil tindakan dengan cepat sebelum api merebak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon.

Sementara itu, Nor Hisham berkata, Selangor, Johor dan Sarawak merekodkan kes kebakaran terbuka tertinggi di negara ini. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Bomba Perak kenal pasti 22 lokasi ‘hot spot’ kebakaran hutan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI