Kemalangan jalan raya: 779 kes kematian libatkan pelajar sekolah

IPOH – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman merekodkan 779 kes kematian akibat kemalangan jalan raya melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga bulan lalu, tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, ia merupakan sebahagian daripada 4,043 kes kemalangan jalan raya yang direkodkan melibatkan kumpulan dan tempoh sama.

Kemalangan jalan raya pelajar sekolah Mohd Yusri kematian maut kes
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berucap pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OKTOBER 2024.

Katanya, dalam tempoh sama pihaknya juga merekodkan sebanyak 498 kes penglibatan pelajar sekolah atau remaja berusia 17 tahun ke bawah yang terbabit dengan aktiviti samseng jalanan.

“Perkembangan ini membimbangkan malah, ia mendapat perhatian daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Ekoran itu, pihak Bukit Aman mengadakan Operasi (Ops) Khas Kemalangan Jalan Raya yang memberi tumpuan kepada motosikal.

“Ini kerana motosikal adalah penyumbang (kepada kadar) kemalangan jalan raya yang tertinggi berbanding dengan kenderaan-kenderaan yang lain,” katanya.

Kemalangan jalan raya pelajar sekolah Mohd Yusri kematian maut kes
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri beramah mesra bersama pelajar-pelajar pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OKTOBER 2024.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson, dekat sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Mohd Yusri memberitahu, Ops Khas Motosikal yang dijalankan polis dalam tempoh sebulan sejak 12 Ogos merekodkan penurunan kes kemalangan motosikal iaitu 2,461 kes berbanding 2,735 kes pada tahun lalu.

Kata beliau, kes kemalangan maut juga merekodkan penurunan 321 kes berbanding 432 kes dalam tempoh sama.

Kemalangan jalan raya pelajar sekolah Mohd Yusri kematian maut kes
Suasana sekitar Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OKTOBER 2024.

“Kes kemalangan motosikal mengikut masa kejadian mendapati waktu pagi antara jam 6 pagi hingga 10 pagi telah menunjukkan kes paling tinggi penunggang motosikal terlibat dengan kemalangan.

“Daripada itu, jalan bandaran menyumbang peratusan tertinggi kepada kemalangan mengikut jenis-jenis jalan iaitu sebanyak 843 kes kemalangan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri bergambar kenangan bersama pelajar dan bekas pelajar SMK Anderson ketika hadir pada Program Advokasi Kesedaran Kesedaran Keselamatan Jalan Raya di Sekolah Menengah Kebangsaan Anderson, Ipoh, pada Rabu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 23 OKTOBER 2024.

“Sementara jalan negeri merekodkan 756 kes kemalangan, Jalan Persekutuan (305 kes kemalangan), lebuh raya (202 kes kemalangan), lain-lain jalan (355 kes kemalangan),” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, antara faktor yang menjadi punca utama kepada kemalangan jalan raya adalah mengekor rapat kenderaan lain di hadapan, tidak nampak kenderaan lain, terbabas, letih dan sebagainya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Remaja maut terperosok bawah MPV

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI