Kerajaan negeri berhasrat setiap rakyat Perak mampu miliki rumah

KERAJAAN Negeri Perak sentiasa berhasrat supaya rakyat di negeri ini dapat memiliki rumah mampu milik supaya mereka dapat tinggal dalam kediaman yang baik dan selesa.

Justeru, kerajaan negeri sentiasa berusaha menjalankan projek-projek rumah mampu milik di seluruh Perak bagi memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan.

Pembelian rumah mampu milik ini juga dilihat sebagai satu pelaburan baik kepada rakyat bagi jangka masa panjang.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, rumah bukan sahaja sebuah bangunan secara fizikal semata-mata tetapi tempat untuk sesebuah keluarga berlindung tanpa mengira status.

“Tidak kisah rumah itu di kampung, taman, PPR (projek perumahan rakyat), rumah pangsa, kita mahu pastikan rumah itu menjadi satu institusi kepada keluarga tak kisah T20, M40 atau B20.

“Oleh itu, perumahan bukan sahaja menjadi tempat untuk sebuah keluarga yang ada bangunan berbumbung, tetapi menjadi institusi kekeluargaan dengan komuniti yang baik demi kehidupan yang lebih sejahtera,” katanya.

Sasar bina 50,000 rumah mampu milik

Bagi memastikan rakyat dapat memiliki kediaman sendiri, kerajaan negeri menyasarkan sekurang-kurangnya 50,000 rumah mampu milik dapat dibina di Perak.

Sandrea Ng berkata, bagaimanapun sewaktu pandemik Covid-19 terdapat projek pembinaan rumah mampu milik yang diluluskan kerajaan negeri mengalami kelewatan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) ‘mengejar balik’ dari segi perkembangan pembinaan rumah tersebut serta melaksanakan lebih banyak kediaman mampu milik.

“Jadi, sepanjang tahun ini beberapa projek perumahan mampu milik berjaya diselesaikan dan kunci juga sudah disampaikan termasuk di kawasan Tualang Sekah, Kerian dan Selinsing.

“Tahun hadapan juga ada perancangan untuk membina rumah mampu milik dan ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri.

“Kita mungkin akan bina lebih banyak rumah mampu milik di kawasan Trolak, Perak Tengah, Simpang Pulai dan Tualang Sekah,” jelasnya.

Beliau menambah, bagi mengatasi masalah rumah tidak terjual pula, kerajaan negeri telah melaksanakan Dasar Perumahan Negeri Perak bagi pembangunan yang melibatkan keluasan tanah melebihi 20 ekar.

“Pemaju diwajibkan untuk membina 40 peratus pembangunan rumah mampu milik yang merangkumi pembinaan Rumah Perakku I, Rumah Perakku II dan Rumah Perakku III,” ujarnya.

Kerajaan negeri berhasrat setiap rakyat Perak mampu miliki rumah
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Usaha selesai projek gajah putih, projek sakit

Sepanjang pandemik Covid-19, Sandrea Ng menjelaskan banyak projek gajah putih berlaku dan kerajaan negeri bertungkus lumus berusaha menyelesaikan masalah berkenaan.

Ujar beliau, untuk mengatasi projek gajah putih ini, kerajaan negeri melihat semula secara praktikal kaedah yang sesuai untuk digunakan sama ada untuk meneruskan projek terbengkalai ataupun merancang kegunaan baharu untuk bangunan yang sudah selesai pembinaannya bukan dengan tujuan asal.

“Kita turut mengalu-alukan pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jika ada kaedah yang sesuai untuk menyelesaikan masalah berkenaan mungkin menerusi perbincangan.

“Tetapi ini bukan mudah, kita akan lihat setiap satu kes secara terperinci mengikut kesesuaian, keperluan dan peluang yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata,  untuk projek sakit, pada tahun ini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) amat memandang serius isu projek sakit dan memberi tumpuan penuh terhadap permasalahan itu.

“Memang tumpuan diberikan untuk selesaikan projek sakit melibatkan rumah terbengkalai dan kerajaan negeri wujudkan task force (jawatankuasa khas) supaya dapat bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Sebab selama ini kalau isu rumah terbengkalai memang di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat jadi kerajaan negeri lebih kepada penghubung atau orang tengah untuk memberi maklum balas berhubung perkara tersebut.

“Justeru, kita akan memainkan peranan yang proaktif khususnya apabila melibatkan agensi-agensi kerajaan negeri, utiliti dan yang berkaitan untuk bantu selesaikan kes tersebut menerusi perbincangan,” ujarnya.

Kuala Kangsar-baru ini, Sandrea Ng menjelaskan dalam pengumuman Belanjawan 2024, turut  diumumkan dana-dana bagi menyelamatkan projek sakit ini.

“Pihak kerajaan negeri juga akan memanfaatkan dana yang ada untuk menyelesaikan  masalah berkenaan.

“Pada tahun ini, satu projek sakit yang berjaya diselamatkan adalah di Taman Mayang Sari, Kuala Kangsar melalui penyaluran peruntukan KPKT kepada PBT untuk melaksanakan kerja-kerja yang tertangguh dan akhirnya dapat selesai sepenuhnya,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Kesejahteraan rakyat diterjemahkan menerusi belanjawan – Salbiah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI