IPOH – Kerajaan negeri Perak akan menghantar cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mengurangkan lampu isyarat di sepanjang laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut bagi melancarkan lagi aliran trafik di Jalan Persekutuan itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, cadangan tersebut adalah idea yang baik, bagaimanapun perkata itu perlu dibincangkan terlebih dahulu dengan pihak berkaitan sebelum perkara tersebut dapat dilaksanakan.
“Kita menerima cadangan itu tetapi akan berbincang lanjut dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana laluan persekutuan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,“ ujarnya selepas merasmikan Bazar Buku Perak 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) pada Khamis.
Sebelum ini, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ketika ini pihaknya sedang melihat keperluan untuk menyahaktifkan 15 lampu isyarat daripada 32 yang sedia ada di laluan berkenaan.
Katanya, JKR juga sedang melihat keperluan untuk menggantikan kaedah persimpangan lampu isyarat sedia kepada kaedah persimpangan laluan pusingan-U sebagaimana yang dilaksanakan di Tambun ketika ini.
Sementara itu, menyentuh berhubung penganjuran Bazar Buku Perak, Saarani berkata, penganjur menetapkan sasaran kehadiran melebihi 30,000 pengunjung sepanjang empat hari acara ini berlangsung.
“Bazar kali ini menyaksikan penyertaan 70 reruai, yang terdiri daripada 69 pempamer tempatan dan satu pempamer dari Indonesia. Kepelbagaian ini menjanjikan pilihan bahan bacaan yang luas untuk pengunjung,” jelasnya.
Beliau berkata, Bazar Buku Perak 2024 adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri dalam merealisasikan Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.
“Program ini adalah salah satu daripada 18 Flagship Perak Sejahtera 2030, yang bertujuan meningkatkan tahap pendidikan dan kesejahteraan rakyat Perak,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
JKR sedang kaji kurangkan lampu isyarat di Lebuhraya Ipoh-Lumut