KUALA KANGSAR – Kerajaan Perak akan meneliti bentuk bantuan yang bersesuaian bagi membantu keluarga mangsa nahas jalan raya yang mengorbankan tiga beranak selepas dirempuh lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kuala Lumpur, Rabu minggu lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, bantuan akan dipertimbangkan khususnya kepada ibu, Norhayati Razali, 55 yang masih dirawat di hospital serta anak, Siti Nor Shakira Shaik Mohd Firdaus, 28.
“Apabila melibatkan ketua keluarga yang hilang punca pendapatan, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita akan tengok apa bantuan yang boleh kita berikan, terutamanya dalam bentuk bantuan bulanan.
“Dari segi pihak kerajaan negeri melalui JKM, biasanya kita juga akan membuat pendekatan untuk memberi sokongan psikososial dari segi kaunseling dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri di Dewan Jubli Perak, di sini, pada Isnin.
Salbiah berkata, lawatan susulan juga akan dilakukan selepas ahli keluarga yang masih mendapatkan rawatan di hospital dibenarkan pulang bagi menilai bentuk bantuan yang diperlukan.
Kata beliau, keadaan ibu mangsa yang masih dirawat di hospital turut diambil kira sebelum sebarang bentuk bantuan diputuskan.
“Kita akan melihat apa bantuan yang bersesuaian, JKM akan turun untuk membuat tindakan susulan dan saya sendiri akan turun untuk menziarahi keluarga berkenaan nanti,” katanya lagi.
Pada Rabu lalu, media melaporkan, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terbabas di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail, di Kuala Lumpur.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, pesara tentera, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, bersama dua anaknya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, disahkan maut di tempat kejadian.
Isteri Shaik Mohd Firdaus, Norhayati, pula cedera dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, sementara Siti Nor Shakira tidak terbabit dalam kemalangan itu kerana tidak mengikuti keluarganya bercuti ke ibu negara. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Nahas lori imigresen: Jenazah tiga sekeluarga selamat dikebumikan dalam satu liang lahad


