Nahas lori imigresen: Jenazah tiga sekeluarga selamat dikebumikan dalam satu liang lahad

KAMPAR – Jenazah tiga sekeluarga yang maut dalam nahas membabitkan lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur selamat dikebumikan pada Rabu.

Kesemua jenazah dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Hitam Labu, di sini, pada jam 11 malam.

Jenazah berkenaan ialah, Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, dan dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, serta Siti Darwisyah Auni, 12.

Ketiga-tiga jenazah itu tiba sekitar jam 10.30 malam di tanah perkuburan berkenaan dengan dibawa tiga van dengan diiringi kenderaan polis.

Kesemua kenderaan itu dari Masjid Jamiul Ehsan di Kuala Lumpur selepas proses bedah siasat mangsa selesai dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Dianggarkan 300 orang terdiri daripada ahli keluarga, kenalan dan penduduk setempat hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

Bacaan talkin dan doa diketuai Imam Masjid Kampung Air Hitam Labu, Yusaini Ariffin.

Terdahulu dalam kejadian sekitar jam 1 pagi, tiga sekeluarga maut selepas dilanggar sebuah lori ‘black maria’ imigresen di persimpangan lampu isyarat Maju Junction, Jalan Sultan Ismail.

Semasa kejadian, empat sekeluarga terbabit yang sedang bercuti di Kuala Lumpur dilaporkan berada di pembahagi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail.

Lori imigresen yang sedang dalam perjalanan menuju ke Chow Kit bagi operasi pendatang tanpa izin itu hilang kawalan sebelum terbabas di persimpangan.

Kenderaan jabatan itu kemudiannya bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dan, menyebabkan lori berkenaan merempuh kesemua mangsa serta sebuah kereta Inokom Matrix.

Akibat rempuhan itu, tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, iaitu isteri kepada Shaik Mohd Firdaus, Norhayati Razali, 55, cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tiga beranak maut nahas lori imigresen: Keluarga mahu siasatan telus

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI