KAMPAR – Ahli keluarga tiga beranak yang maut dalam nahas di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi Rabu berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan keadilan terhadap mangsa.
Abang ipar kepada Allahyarham Shaik Mohd Firdaus Shaikh Yahya, 53, Mohd Nadzri Razali, 69, berkata, keluarga masih bersedih dan terkejut selepas menerima berita mengenai kejadian berkenaan, terutama apabila pada awalnya mereka menyangka dua mangsa maut.
Menurutnya, berita mengenai nahas itu diterima sekitar jam 7 pagi sebelum keluarga mendapat pengesahan bahawa tiga individu maut dalam kejadian berkenaan dan perkhabaran itu lagi meruntun lagi jiwa mereka sekeluarga.
“Saya harap siasatan dibuat sepenuhnya. Dengar cerita lampu isyarat merah tetapi kenderaan (lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)) itu tetap melintas. Kami mahu segala maklumat berkaitan kejadian itu diperjelaskan.
“Dan saya cuma minta keadilan untuk adik ipar dan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Aman Fasa 2, Mambang Di Awan di sini pada Rabu.

Dia berkata, keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila keluarga baru sahaja kehilangan seorang lagi anggota pada 30 Mei lalu sebelum ini.
“Sedih dan terkejutlah. Baru pada Mei lalu adik saya meninggal. Tiga bulan kemudian kami terima perkhabaran pilu ini,” katanya.
Katanya, beliau enggan menonton video kejadian yang tular di media sosial kerana tidak sanggup melihat rakaman berkenaan selepas kehilangan anak saudara dan adik iparnya.
Menurut Mohd Nadzri, keluarga juga berdepan kesukaran mendapatkan maklumat awal kerana beberapa barangan peribadi mangsa tidak ditemui.
“Beg duit, kunci kereta dan kad bank semua tak jumpa. Pihak polis pun kami tak pasti siapa yang hubungi pada awalnya,” katanya.
Mengulas tentang keadaan Norhayati, beliau berkata, adiknya yang sebelum ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah sedar dan stabil.

Sekiranya keadaan mengizinkan dan mendapat kebenaran pihak hospital, pihaknya berharap Norhayati dapat dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh atau Hospital Teluk Intan bagi rawatan lanjut.
Dia yang tinggal di kejiranan sama dengan keluarga arwah memberitahu, kali terakhir bertemu dengan Shaik Mohd Firdaus adalah kira-kira dua minggu lalu ketika mereka pulang ke Teluk Bakong di Ayer Tawar untuk membersihkan kubur keluarga.
Tambahnya, anak bongsu arwah yang berusia 12 tahun juga sangat rapat dengan bapanya.
“Kalau naik motosikal, dia peluk bapanya. Mereka memang rapat sangat,” katanya dengan sayu.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, Shaik Mohd Firdaus maut bersama dua anak perempuannya, Siti Nor Sazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12, manakala isterinya, Norhayati Razali, 55, cedera parah.
Media melaporkan, semasa kejadian, empat sekeluarga terbabit yang sedang bercuti di Kuala Lumpur dilaporkan berada di pembahagi jalan berhampiran persimpangan lampu isyarat Jalan Sultan Ismail.
Sebuah lori JIM yang dipercayai datang dari arah Wisma FGV hilang kawalan dan terbabas ke arah mangsa serta sebuah kenderaan lain yang berhenti di persimpangan.
Akibat rempuhan itu, tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MG Perak
Artikel Berkaitan:
3 beranak maut, ibu cedera dirempuh lori Imigresen di Jalan Sultan Ismail


