KUALA LUMPUR – Putrajaya mengesahkan pihaknya sedang berusaha untuk membawa keluar lima rakyat Malaysia yang dilaporkan berada di Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kelima-lima mereka berada dalam keadaan selamat dan identiti kesemua mereka sudah dikenalpasti.
“Lima orang itu adalah seorang ibu bersama tiga orang anaknya dan seorang doktor, Nurul Ain Latif berasal dari Kota Bharu, Kelantan yang telah berkahwin dengan warga Palestin.
“Keadaan mereka berada di tempat yang selamat. Kita juga sedang berusaha untuk melakukan proses evakuasi untuk Dr Nurul Ain ini.
“Sehingga kini, kita mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama dengan lapan warga Indonesia yang berada di kawasan tersebut,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Hong Pin bertanya mengenai langkah atau bantuan sokongan akan diberikan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di Tebing Barat.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Wisma Putra juga sedang memantau kedudukan rakyat Malaysia lain sekiranya ada di kawasan terbabit.
“Sehingga setakat ini, belum ada laporan lain yang melibatkan kedudukan rakyat Malaysia.
“Melainkan beberapa hari lalu ada rombongan melibatkan rakyat Malaysia dan Singapura yang berada di kawasan Baitulmaqdis, (tetapi) telah dikeluarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette