Kerjasama menyeluruh tangani masalah keciciran murid – PM Anwar

BATANG KALI – Semua pihak perlu memberikan kerjasama menyeluruh bagi memberikan kesan positif kepada usaha kerajaan, untuk menokhtahkan isu keciciran pembelajaran di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata anak-anak bangsa tidak boleh dibiarkan tercicir, malah mesti diberikan segala kerjasama serta bantuan untuk meningkatkan keupayaan mereka secara bersama.

“Kita perlu beri mereka ini ruang dan peluang kedua dalam pendidikan, keciciran bukan perkara baharu tetapi menjadi lebih rumit dan mencabar, tatkala kita mendepani permasalahan COVID-19.

“Ibu bapa (juga) harus mempunyai tanggungjawab. Guru-guru terpaksa dibebankan kerana mempunyai tanggungjawab menyelamatkan anak bangsa yang tercicir dan anak-anak harus ambil kesempatan ini dengan sebaiknya. Tidak ada sebab mengapa tidak mungkin kita bangkit dan bernafas semula,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman ucapan yang disiarkan pada Majlis Pelancaran Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa di sini hari ini, yang dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Anwar berkata biarpun peruntukan kepada KPM pada Belanjawan 2024 mencecah RM58.7 bilion, namun peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta diberikan untuk melaksanakan Program Anak Kita, bagi mengatasi isu keciciran.

“Peruntukan tambahan ini (yang peruntukan telah sedia ada di dalam Belanjawan 2024) diberikan melihatkan kepada keprihatinan KPM (terhadap isu keciciran) dan supaya tidak membebankan kementerian dengan tanggungjawab sedia ada,” katanya.

Beliau juga berharap Program Anak Kita melibatkan jalinan kerjasama Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Yayasan Hasnah, pihak swasta dan masyarakat sivil itu, dimanfaatkan sebaiknya.

“Supaya kita dapat menggunakan peluang ini dalam pelbagai bidang termasuk beberapa inisiatif baharu dalam bidang digital, IT (teknologi maklumat) yang sangat diperlukan,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata dengan usaha yang dilakukan ini, diharapkan akan dapat memberikan makna kepada usaha menokhtahkan kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan MADANI, kerana keciciran dalam bidang pendidikan itu terkait secara langsung dengan masalah kemiskinan.

Program Anak Kita antara lain memberi tumpuan kepada intervensi terhadap golongan murid dan pelajar dengan asas pendidikan kurang baik menerusi penyediaan khidmat tuisyen, pembelajaran bersemuka serta hibrid di luar waktu persekolahan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI