KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan penderitaan yang dihadapi rakyat di Palestin akibat serangan berterusan rejim Zionis Israel ke atas negara itu sebagai sesuatu yang mendukacitakan.
Titah baginda, dunia kini sedang sakit dan jika ia berterusan, dibimbangi pergolakan dan keganasan serta malapetaka kemanusiaan dibimbangi gagal dibendung.
“Dunia kini sedang sakit dan dibimbangkan berkemungkinan menjadi tenat, jika krisis persaingan dan pergolakan terus berlaku, sedangkan keganasan serta malapetaka kemanusiaan gagal dibendung.
“Amat memilukan hati melihat penderitaan yang ditanggung oleh rakyat bumi Palestin akibat perbuatan zalim rejim Zionis Israel yang kita tidak terfikir, tergamak dilakukan oleh makhluk bergelar manusia.
“Penderitaan yang dialami oleh insan-insan tidak berdosa di bumi Palestin mengembalikan ingatan kepada kata dua yang diungkapkan oleh tentera Athen kepada penduduk Pulau Melos semasa Perang Peloponnesia antara Athens dan Sparta pada tahun 416 sebelum Masihi,
“Iaitu ‘The strong do what they can and the weak suffer what they must’ (yang kuat akan lakukan apa yang mereka mampu, sementara yang lemah akan menderita dengan penderitaan yang dihadapi).
“Penduduk Pulau Melos yang memilih sifat berkecuali dan tidak mahu menyerah diri telah dikepung, semua penduduk lelaki dibunuh, dan semua wanita dan kanak-kanak diperhamba,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-67 di Istana Iskandariah, dekat sini, pada Ahad.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, serta Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, baginda bertitah dunia yang tenat dilanda krisis perlu diubati dengan suara perdamaian, yang mana bermuafakat lebih baik daripada bersengketa.
“Dunia ini perlu dilimpahi dengan cahaya kedamaian yang menjamin harapan. Perdamaian akan hanya wujud apabila manusia memilih untuk memahami antara satu sama lain.
“Suara kebenaran di tengah-tengah arus yang memilih untuk berkonflik, dan usaha perdamaian dalam dunia yang memilih untuk berperang, memerlukan kekuatan luar biasa, mengatasi kekuatan dan keberanian seorang soldadu di medan perang,” titah Sultan Perak. -MG Perak
BACA SELANJUTNYA:
Sultan Perak zahir penghargaan kepada Agong, Raja Permaisuri