KKR sedia kerjasama dengan pemain industri, teroka ekosistem EV

TANJUNG MALIM – Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya (LLM) bersedia untuk bekerjasama dengan pemain industri khususnya pihak ‘Charge Point Operator’  tempatan dan antarabangsa bagi menggalakkan inovasi teknologi, penyelidikan dan penerokaan dalam bidang berkaitan infrastruktur serta ekosistem kenderaan elektrik (EV).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata usaha itu juga dapat memperkembangkan lagi infrastruktur tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan daya saing dalam sektor tenaga bersih di negara ini.

“Saya melihat kerjasama antara PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Gentari Sdn. Bhd (Gentari) mencerminkan satu gandingan strategik yang menggabungkan kekuatan unik dari setiap organisasi. 

“Saya yakin bahawa kerjasama strategik ini akan terus memainkan peranan penting dalam penyediaan penyelesaian pengangkutan rendah karbon sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP), dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah Alih di Hentian Sebelah Behrang Arah Utara, di Lebuhraya PLUS, di sini, pada Selasa. 

Hadir sama, Duta Besar Norway ke Malaysia, Morten Paulsen; Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razali. 

Stesen pengecasan berkenaan merupakan Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah-Alih dengan sistem simpanan kuasa bateri yang pertama dalam negara ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata pembangunan infrastruktur pengecas EV yang komprehensif adalah penting bagi menjadi pemangkin kepada penerimaan kenderaan elektrik yang lebih meluas.

Menurutnya, KKR melalui LLM telah meluluskan projek rintis pengecas pantas modular seumpama itu di empat  tapak di Lebuhraya PLUS melibatkan 16 poin infrastruktur pengecas pantas kenderaan elektrik (DCFC) untuk disiapkan tahun ini.

“Empat tapak yang akan beroperasi pada tahun ini adalah di Hentian Sebelah Behrang  di arah utara dan arah selatan, serta Hentian Sebelah Senawang (arah utara dan arah selatan) di Negeri Sembilan. 

“Setiap tapak akan mempunyai kapasiti pengecasan arus terus (DC) 300 kilowatt (kW) yang menyediakan empat poin pengecasan. Ia sebagai tambahan kepada 22 pengecas DC Sistem Pengecas EV (EVCS) sedia ada yang telah beroperasi di sepanjang lebuhraya kendalian PLUS melibatkan 30 poin pengecas,” jelasnya.

Tambah beliau, sebanyak tiga tapak tambahan pengecas pantas modular akan dibangunkan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ajil arah utara dan selatan, serta di R&R Perasing, di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), di Terengganu pada tahun hadapan. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI