Gentari sasar pemasangan 400 poin pengecasan EV

TANJUNG MALIM – Anak syarikat Petronas, Gentari Sdn Bhd (Gentari) menyasarkan pemasangan dan pengoperasian 400 poin kenderaan elektrik (EV) awam di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli berkata setakat ini syarikat tenaga baharu itu telah membangunkan sebanyak 170 poin EV.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli

“Sebahagian besar daripada separuh pertama tahun ini telah dihabiskan hanya untuk mendapatkan kelulusan bagi mendirikan atau membariskan pengecas kami, walaupun pembinaan pengecas awam hanya memakan masa kira-kira dua ke tiga minggu bagi pengecas jenis arus ulir (AC charger), dan empat minggu untuk pengecas jenis arus terus (DC charger). 

“Permohonan tenaga kuasa dan proses-proses lain berkait dengan hal-hal penguatkuasaan melanjutkan lagi proses keseluruhan kepada antara tiga  hingga lapan bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah Alih di Hentian Sebelah Behrang Arah Utara, di Lebuhraya PLUS, pada Selasa. 

Majlis yang dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi  itu turut dihadiri Duta Besar Norway ke Malaysia, Morten Paulsen serta  Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi melawat Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV) Modular Mudah-Alih Gentari Sdn Bhd (Gentari) dan EV Connection Sdn Bhd (EVC) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang Arah Utara di Lebuhraya PLUS, Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 OKTOBER 2023

Shah menambah, selepas di Semenanjung pihaknya merancang untuk memperluaskanya ke Sabah dan Sarawak khususnya di jajaran Lebuhraya Pan Borneo menjelang tahun hadapan.

“Kita baru melancarkan dua stesen pengecasan EV di Sarawak pada bulan lepas, dan pada tahun hadapan kita bersama Sarawak Energy Bhd (SEB) merancang untuk membuka stesen-stesen pengecasan itu di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.

“Ia bagi memberi keyakinan kepada pengguna kenderaan EV yang memerlukan pemanduan jauh dengan melalui lebuhraya berkenaan. Dan kita harap ia juga dapat dilancarkan stesen pertama di Sabah dalam tempoh terdekat,” katanya lagi.

Perasmian Stesen Pengecas Pantas Kenderaan Elektrik (EV) Modular Mudah-Alih Gentari Sdn Bhd (Gentari) dan EV Connection Sdn Bhd (EVC) di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang Arah Utara, di Lebuhraya PLUS, Tanjung Malim. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 OKTOBER 2023

Stesen Pengecas Pantas EV Modular Mudah-Alih itu merupakan stesen pengecasan yang dilengkapi oleh Sistem Simpanan Kuasa Bateri (BESS) dengan menggunakan tenaga solar yang pertama di negara ini.

Setiap lokasi  stesen mempunyai kuasa pengecasan DC sehingga 300 kilowatt (kW) dan empat poin pengecasan disediakan.

Di samping itu, stesen pengecasan mudah alih itu juga boleh ditempatkan di lokasi-lokasi pedalaman termasuk di kawasan yang tidak mempunyai sumber bekalan elektrik. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN:

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI