IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menyatakan kesediaan beliau menjadi penghubung antara Kerajaan Negeri Perak dan Persekutuan bagi memastikan pelaburan besar syarikat pengeluar kenderaan elektrik (EV) China, BYD kekal di negeri ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, pelaburan BYD memiliki potensi besar memandangkan syarikat berkenaan mencapai kejayaan menjual lima juta unit EV pada 2025 mengatasi Tesla.
Kor Ming percaya jika BYD memilih Perak sebagai destinasi pelaburan mereka, ia bakal memberi impak positif dalam pembangunan industri EV di Malaysia, mencipta ribuan peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan mengukuhkan ekonomi negeri ini.
“BYD adalah pengeluar EV terbesar di dunia. Jika mereka memilih untuk beroperasi di Perak, ia pasti akan membawa perubahan besar kepada industri automotif negara, khususnya dalam sektor kenderaan elektrik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bertanya soalan tambahan kepada Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee (PH-Jalong) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Isnin.
Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang turut berjanji untuk membawa isu ini ke perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar keputusan yang terbaik dan memberi manfaat kepada Perak dapat dicapai.
Sementara itu, Sze Yee ketika menjawab soalan tambahan berkenaan turut menyambut baik kesediaan Kor Ming untuk membantu Kerajaan Perak sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan negeri dan Persekutuan.
Beliau berkata, persaingan yang sihat adalah sesuatu yang positif, khususnya dengan kemasukan pelaburan seperti BYD yang mampu memberi rangsangan kepada industri automotif tempatan.
“Pada masa yang sama, terdapat pelbagai pendekatan yang boleh dilaksanakan untuk melindungi kepentingan pemain industri tempatan, bukan semata-mata bergantung kepada dasar perlindungan yang sedia ada.
“Sebagai contohnya, Thailand membuktikan bahawa industri automotif boleh berkembang dengan lebih berjaya dalam persekitaran yang terbuka dan kompetitif, termasuk di bawah dasar tanpa perlindungan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata,pengeluar automotif tempatan kini telah mencapai tahap kematangan dan berkeupayaan untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
“Kami percaya bahawa Perdana Menteri serta Menteri sentiasa berpegang kepada niat dan komitmen yang terbaik demi kepentingan kerajaan, rakyat, negeri serta negara Malaysia,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penubuhan kilang BYD tidak boleh diubah, kekal di Perak – Exco


