KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya tahun hadapan

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi transaksi pembelian tiket bermula 1 Jan 2025 di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan inisiatif itu, bertujuan membentuk masyarakat lebih cekap, berdaya saing dan selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah digitalisasi, yang mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan.

Langkah itu juga adalah untuk menyokong usaha kepimpinan negara memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang berdaya saing, termasuklah transformasi kepada masyarakat tanpa tunai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata KTMB kini dalam fasa peralihan sehingga akhir tahun ini, untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai khususnya warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU), berhubung peralihan mod bayaran itu.

“Sepanjang tempoh peralihan, kaunter tiket masih menerima transaksi tunai, namun apabila inisiatif ini dilaksanakan kelak, semua transaksi akan dilakukan secara tanpa tunai,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rani Hisham berkata hebahan juga dilakukan menerusi media sosial rasmi KTMB, edaran bahan promosi di stesen dan pengumuman dalam tren, selain pihaknya bekerjasama dengan bank tempatan untuk membantu mereka yang belum memiliki kad debit di stesen KTMB terpilih.

“Kakitangan barisan hadapan di stesen juga akan membantu pengguna mendaftar aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau kad Komuter Link dan membantu pengguna membeli tiket menerusi aplikasi atau kad itu, selain membantu pembelian tiket menerusi mesin kios,” katanya.

Mohd Rani Hisham berkata KTMB juga menawarkan 500 mata railpoints percuma untuk 1,000 pendaftaran KITS terawal dan mengedarkan 1,000 kad Komuter Link secara percuma, bagi menggalakkan sokongan orang ramai kepada transaksi tanpa tunai.

Kenyataan itu memaklumkan statistik menunjukkan sebanyak 82 peratus penumpang menggunakan mod bayaran dalam talian bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan Shuttle Tebrau melalui KITS, manakala penggunaan sistem pembayaran tanpa tunai bagi perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Utara ialah 71 peratus.

KTMB setakat ini juga mempunyai lebih tiga juta akaun berdaftar bagi pembelian tiket ETS, KTM Intercity, Shuttle Tebrau dan KTM Komuter di aplikasi KITS.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI