IPOH – Sebanyak 2.41 juta benih ikan air tawar dilepaskan menerusi pelaksanaan 23 siri pelepasan di sungai, tasik serta lombong di seluruh negeri Perak pada tahu lalu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, antara spesies benih ikan tempatan yang dilepaskan adalah seperti udang galah, ikan baung, kerai, temoleh, dan sebagainya.
Katanya, langkah itu bukan sahaja menyokong pemuliharaan sumber asli, tetapi turut memastikan kesinambungan industri perikanan darat yang turut membabitkan 1,893 orang nelayan darat yang berdaftar di seluruh negeri.
“Kerajaan negeri melalui Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) komited melaksanakan pendekatan bersepadu dan menyeluruh dalam menangani cabaran yang dihadapi nelayan darat, termasuk isu pencemaran perairan, kemerosotan stok ikan, serta ketidakstabilan sumber pendapatan mereka.
“Pendekatan ini bukan sahaja menekankan pemuliharaan sumber asli, tetapi juga pembangunan ekonomi dan kesejahteraan komuniti nelayan secara mampan.
“Antara inisiatif langkah strategik yang dijalankan ialah pelaksanaan program pelepasan benih ikan secara berterusan bagi meningkatkan stok sumber perikanan darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Salina Samsudin (BN-Behrang) pada Mesyuarat Pertama, Tahun Keempat, Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Jumaat.
Menurut Mohd Zolkafly, DOF negeri juga turut melaksanakan pemantauan berkala khususnya dalam mengenal pasti kehadiran serta taburan spesies ikan asing di sungai, tasik dan lombong seluruh negeri.
Kata beliau, sebanyak tiga siri program di bawah inisiatif Program Memburu Ikan Asing telah dijalankan di kawasan-kawasan kritikal melibatkan 106 orang peserta.
Jelas Mohd Zolkafly, usaha itu membuahkan hasil apabila 9.4 tan ikan asing khususnya melibatkan spesies ikan bandaraya dan baung ekor merah berjaya dikeluarkan daripada perairan umum negeri ini.
“Data yang diperoleh menjadi asas penting dalam menilai status populasi ikan asli serta merancang tindakan pemuliharaan yang lebih berkesan.
“Dalam usaha memperkukuh perlindungan terhadap habitat dan sumber ikan asli, kerajaan negeri sedang memuktamadkan pindaan terhadap Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992, termasuk kawalan terhadap aktiviti yang berpotensi menjejaskan ekosistem perairan,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak bantu 1,500 nelayan darat terjejas kemarau


