Lebih RM60,000 peruntukan, bantu petani terjejas akibat banjir

TAIPING – Kerajaan Negeri Perak meluluskan 19 permohonan melibatkan peruntukan berjumlah RM60,250.20 melalui Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) dan Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, ia bertujuan membantu para petani terjejas akibat pelbagai bencana alam termasuk banjir.

Menurut Mohd Zolkafly, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 17 permohonan melibatkan padi dan bakinya membabitkan tanaman lain.

“Melalui TBTP, bantuan yang diluluskan berjumlah RM5,212.20, manakala PPSPA pula jumlah keseluruhan yang diluluskan adalah sebanyak RM56,586.

“Jumlah peruntukan melalui kedua-dua bantuan yang telah diluluskan di peringkat negeri itu juga akan diangkat ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebelum diagihkan kepada setiap penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi sidang media selepas merasmikan Hari Ladang Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dan Kempen Makan Sayur-Sayuran Peringkat Negeri Perak di pekarangan Pejabat Pertanian LMS di sini pada Selasa.

Mohd Zolkafly berkata, jumlah bantuan yang akan diterima oleh para petani berkenaan berbeza berdasarkan kepada kerosakan tanaman mereka.

“Sebagai contoh, untuk tanaman padi di bawah 70 hari, nilai bagi bantuan di bawah PPSPA adalah sebanyak RM750 per hektar dan lebih daripada 70 hari ialah RM1,800 per hektar.

“Bagi tanaman lain, kita akan nilai kerosakan yang berlaku dan 50 peratus daripada nilai kerosakan itu kita akan beri bantuan berbentuk input pertanian,” katanya.

Selain itu, beliau berkata mana-mana petani yang ingin memohon bantuan berkenaan perlu berhubung dengan Jabatan Pertanian Negeri selain diwajibkan untuk membuat laporan polis.

“Laporan ini perlu dibuat serta-merta dan tidak boleh melebihi tempoh sebulan daripada tarikh kejadian. Selain laporan polis, bukti sampingan seperti gambar di tapak tanaman juga diperlukan bagi tujuan pengesahan,” katanya.

— BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI