BAGAN DATUK – Mayat lelaki yang terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah, di sini semalam ditemui terapung kira-kira tujuh kilometer (km) dari lokasi kejadian pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, mayat mangsa, Mohd Nor Ferdaus Mohd Mokhtar, 42, ditemui sekitar jam 11.59 pagi.
Menurutnya, mayat lelaki terbabit ditemui anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang meneruskan operasi mereka pada jam 8 pagi ini.
“Mangsa ditemui terapung oleh pasukan SAR dan dibawa naik untuk pengesahan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi status kematian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam media melaporkan, Mohd Nor Ferdaus dipercayai terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah sekitar jam 11.36 pagi Jumaat. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Jatuh dari jambatan sama: Lelaki, kanak-kanak masih hilang dalam dua kejadian berasingan


