LENGGONG – Lenggong menjadi UNESCO Global Geopark pertama di Malaysia yang memperkenalkan modul kursus usahawan di bawah program GeoUsahawan (GeoEntrepreneur) dalam usaha meningkatkan kualiti pengusaha makanan, pengangkutan, pengurusan acara dan pelbagai.
Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, modul berkenaan diperkenalkan selepas pelaksanaan modul GeoSchool di Lenggong yang juga pertama di negara ini.
Menurut beliau, program GeoEntrepreneur Lenggong Geopark itu dibangunkan bagi memberi latihan kepada pengusaha dalam pelbagai bidang termasuk penginapan dan makanan selain merangkumi aspek pengangkutan dan pengurusan acara bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, sekali gus menawarkan pengalaman terbaik kepada pelancong.
“Kita sedar bahawa di Lenggong ini kita kurang dari segi tempat penginapan yang bertaraf tinggi, yang ada rating empat ke lima bintang. Namun kita berkeyakinan, pelancong barat misalnya, dia lebih tertarik kepada suasana yang lebih ‘nature’, yang berlainan antara satu tempat ke tempat lain.
“Jadi, melalui GeoUsahawan ini kita akan melatih usahawan walaupun kita bukan menyediakan hotel bertaraf lima bintang tetapi resort, homestay, chalet yang kita buat itu adalah berkualiti yang boleh menawarkan yang terbaik berbanding hotel-hotel bertaraf antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pelancaran GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark di Dewan Merdeka Lenggong di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turut merasmikan majlis berkenaan.

Mengulas lanjut Shamsul Anuar berkata, pihaknya turut mengalu-alukan Geopark lain di dalam negara untuk mengikuti kursus usahawan GeoEntrepreneur berkenaan dalam usaha melahirkan usahawan pelancongan yang lebih berdaya saing.
Jelasnya, Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong akan berperanan sebagai pusat latihan bagi usahawan tempatan selain turut membuka peluang kepada usahawan dari Geopark di seluruh negara untuk mengikuti modul berkenaan.
“Kita harap mana-mana Geopark di seluruh Malaysia yang ingin melatih usahawan mereka boleh datang ke Lenggong.
“Dengan adanya pusat latihan ini, lebih ramai akan mengenali pembangunan GeoUsahawan sekali gus merealisasikan hasrat menjadikan Lenggong sebagai pusat rujukan pembangunan usahawan Geopark negara,” katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, satu direktori lengkap turut akan diwujudkan bagi memudahkan pelancong mendapatkan maklumat berkaitan penginapan, lokasi makanan dan pelbagai aktiviti menarik di Lenggong menerusi penggunaan kod QR.
Katanya, inisiatif itu merupakan persediaan menjelang penganjuran Lenggong Dialog pada Disember depan yang bakal menghimpunkan pelbagai program bertaraf dunia melibatkan penggiat seni, budaya dan peserta dari beberapa negara.
“Lenggong Dialog akan menampilkan 39 pengisian pelbagai acara yang disertai penggiat seni dan budayawan dari pelbagai negara.
“Program bertaraf antarabangsa itu akan bermula pada September dengan kemuncaknya dijadualkan berlangsung pada Disember,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
GeoEntrepreneur persiap usahawan selari pengiktirafan Lenggong UNESCO Global Geopark


