TELUK INTAN – Tahap kesihatan Penyanyi legenda tanah air, Datuk M Daud Kilau semakin merosot selepas dimasukkan ke Hospital Teluk Intan minggu lalu sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada Isnin.
Anaknya, Noraini, 58, berkata, bapanya itu dikejarkan ke hospital selepas tahap penyakit kencing manis yang dihidapinya semakin teruk.
Katanya, arwah sepatutnya menjalani pembedahan kaki pada hari ini selepas tiga kali ditangguhkan, namun ia tidak kesampaian.
“Keadaan kesihatannya sejak Selasa memang semakin teruk yang mana doktor memberitahu kuman telah merebak pada bahagian kakinya.
“Sepanjang berada di hospital arwah memang bergantung kepada alat bantuan pernafasan,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan, pada Isnin.
Tambah Noraini, Allahyarham yang dimasukkan ke hospital berkenaan pada Selasa malam minggu lalu juga ada kala berada dalam keadaan dan tidak sedar.
Malah, katanya arwah bapanya juga tidak mampu untuk memberi sebarang reaksi apabila ditegur.
“Kami dan emak ada menjaganya sehingga beliau habis hayat. Sejak pagi semalam, arwah bapa mula tidak sedarkan diri.
“Sekitar jam 4.30 petang tadi, tahap pernafasannya mula tenat sebelum menghembuskan nafasnya terakhir,” katanya lagi.
Selain itu, ujar Noraini, jenayah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Tuminah Hamidi, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh, Bagan Datuk pada Selasa.
Penyanyi legenda itu dilaporkan meninggal dunia di Hospital Teluk Intan kira-kira jam 4.40 petang, Isnin
M Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau sebelum ini dilaporkan berdepan masalah penyakit jantung, paru-paru berair dan kebas anggota kaki dan tangan.
Penyanyi berusia 85 tahun itu pada Mei lalu juga pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan gara-gara masalah sesak nafas.
Beliau mula menceburkan diri dalam bidang seni selepas menjuarai Bintang Radio Singapura pada 1968.
Susulan kemenangan itu, pelantun lagu Cek Mek Molek itu menjadi artis rakaman,menghasilkan pelbagai album berkonsepkan langgam, asli dan dangdut.
Beliau dikurniakan darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) oleh Sultan Perak pada 1991 yang membawa gelaran Datuk sebagai menghargai jasanya dalam dunia seni tanah air. -MG Perak.
Artikel Berkaitan:
[…] M Daud Kilau tidak sedarkan diri sejak semalam […]
[…] M Daud Kilau tidak sedarkan diri sejak semalam […]
[…] M Daud Kilau tidak sedarkan diri sejak semalam […]