SERDANG – Perak berjaya mengekalkan kejuaraan kali keenam berturut-turut selepas muncul sebagai pavilion terbaik dalam Pavilion @ Laman IDOL Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, pada Ahad
Perkara itu diumumkan pada Majlis Penutup MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), yang dirasmikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Mohamad menyampaikan plakad dan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada kerajaan negeri yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Salbiah Mohamed.
Pavilion Negeri merupakan antara tarikan orang ramai pada sepanjang penganjuran MAHA edisi ke-100 yang berlangsung selama 12 hari bermula 11 September.
Setiap pavilion mempamerkan keunikan budaya, termasuk makanan, kraf tangan, dan hasil pertanian di samping elemen-elemen menarik di setiap negeri.
Bagi Pavilion Perak, setiap dekorasi mempunyai kaitan dengan budaya serta adat negeri yang dipamerkan kepada pengunjung.
Dekorasi berkenaan bermula dengan bunga limpah dan pameran taman serta motor roda tiga yang menjadi simbolik jualan AgroMADANI dan kesenian.
Aktiviti bertemakan “Lestari Agro, Perak Makmur” yang dijalankan di Pavilion Perak juga menarik perhatian pengunjung sehingga ia dapat diibaratkan sebagai ‘MAHA kecil’.
Dalam perkembangan yang sama, Mohamad berkata, penganjuran MAHA 2024 kali ini berjaya menarik lebih 5.02 juta pengunjung.
Tambahnya lagi, sambutan kali ini mencatatkan nilai jualan langsung sebanyak RM41 juta, dengan 139 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bernilai RM7.2 bilion telah berjaya ditandatangani.
Selain itu, Agrobank juga merekodkan potensi pembiayaan dan padanan perniagaan berjumlah RM1.38 bilion pada sepanjang penganjuran MAHA 2024. – MG Perak
Artikel Berkaitan: