SATU ketika dahulu bas menjadi medium pengangkutan awam utama bagi penduduk di sekitar bandar raya Ipoh.
Kini, walaupun perkhidmatan bas masih wujud, orang ramai lebih cenderung memilih menggunakan kenderaan sendiri bagi memudahkan pergerakan mereka dari satu lokasi ke lokasi lain.
Justeru, kafe Boss Bus Camp mengambil inisiatif ‘menghidupkan’ semula penggunaan bas tersebut dengan menjadikannya kafe.
Terletak di Jalan C M Yusuff, Taman Chateau, Ipoh, kafe yang dibuka pada 26 Oktober tahun lalu itu beroperasi setiap hari bermula jam 4.30 petang sehingga 12 tengah malam dan ditutup pada Selasa.
Kafe tersebut mempunyai lima buah bas vintaj yang telah diubah suai tempat duduk dan meja dilengkapi alat pendingin hawa serta dekorasi menarik bagi membolehkan pelanggan menikmati makanan dalam suasana cukup selesa.
Jurucakap Boss Bus Camp, Nur Azizah Ahmad Nazaruddin, 25, berkata, nama Boss Bus Camp diinspirasi daripada pemiliknya yang pada zaman dahulu menjadikan bas sebagai pengangkutan untuk ke sekolah.
Menurutnya, apabila dewasa, pemilik kafe telah mengecap kejayaan sehingga berjaya bergelar ‘bos’.
“Di sini, kita mempunyai lima buah bas dan keseluruhan kawasan ini mampu menempatkan 200 orang pada satu masa.
“Setiap bas juga mempunyai kapasiti tertentu, seperti bas yang kecil mampu menampung seramai 12 orang,” katanya ketika ditemui MG Perak.
Dalam pada itu, Nur Azizah berkata, kafe ini menawarkan hidangan barat (western) dan laut (seafood).
“Menu paling laris di sini adalah set BBC Whole Chicken iaitu ayam kampung goreng.Selain itu, terdapat beberapa menu lain yang turut menjadi tarikan pelanggan antaranya, set grill Chicken Chop dan Lamb Chop.
“Setiap pelanggan yang makan di sini akan diberikan replika tiket bas lama sebagai cenderahati.
“Pelanggan juga boleh membuat barbeku (bbq) sendiri. Kita akan sediakan set bbq mengikut harga dan pelanggan dapat menggunakan kawasan ini secara percuma,” ujarnya.
Katanya, pelanggan berusia 12 tahun dan ke atas juga boleh mencuba permainan go kart yang menawarkan harga RM20 sahaja bagi tempoh 10 minit.
“Alhamdulillah, sejak dibuka sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Ada hari memang ramai pelanggan akan berkunjung ke sini seperti sambutan Tahun Baharu dan perayaan Krismas baru-baru ini,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: