KUALA LUMPUR – Malaysia memilih pendekatan berbeza di pentas global apabila meletakkan nilai, etika dan moral sebagai teras pembangunan negara meskipun dunia kini rancak mengejar kemajuan teknologi moden, transformasi digital serta kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, aspek kemanusiaan dan pegangan agama tidak boleh diketepikan dalam usaha membangunkan negara kerana ia menjadi asas penting dalam membentuk masyarakat yang beradab dan saling menghormati.
“Semua negara bercakap soal pembangunan, digital, teknologi dan inovasi. Tetapi kita menekankan soal nilai dan etika yang sebenarnya berakar kepada kepercayaan agama, sesuatu yang telah banyak ditinggalkan oleh kefahaman barat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Wacana Harmoni sempena sambutan Hari Wesak di Menara Ken di sini hari ini.
Anwar berkata, walaupun Barat sering memperjuangkan konsep kebebasan, aspek tersebut tidak lagi dijadikan tonggak utama dalam pembinaan sesebuah negara.
Justeru katanya, Malaysia mengambil pendekatan tersendiri bagi memastikan rakyat terus berpaksikan nilai murni di tengah-tengah arus pemodenan dan kemajuan teknologi.
“Sambil kita bercakap tentang inovasi, transformasi digital dan AI, kita mesti kekal teguh mempertahankan pegangan iman, nilai moral dan etika kita.
“Inilah yang menjadikan kita unik sebagai sebuah negara. Dalam usaha mencapai pembangunan dan perubahan, kita mesti memastikan kita kekal sebagai manusia yang mempunyai nilai kemanusiaan dan saling menghormati,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pengabaian terhadap nilai murni menjadi punca dunia kini menyaksikan pelbagai tragedi kemanusiaan dan kekejaman sesama manusia tanpa rasa bersalah yang disifatkannya sebagai ‘penyakit hati’.
Bagaimanapun, Anwar menepis tanggapan pandangannya itu menggambarkan dirinya bersikap anti-Barat.
Beliau berkata, pengasas awal Amerika Syarikat sendiri pernah menekankan kepentingan aspek dalaman manusia menerusi konsep habits of the heart yang diketengahkan sarjana Perancis, Alexis de Tocqueville.
“Sama ada ia bersifat Buddha, Islam, Konfusianisme mahupun Kristian, nilai-nilai ini kini kian hilang. Ia bukan sahaja tidak diamalkan malah tidak lagi dibincangkan.
“Apa yang dipraktikkan hari ini hanyalah isu-isu praktikal dan apa yang mendatangkan keuntungan politik bukannya nilai atau etika,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap komitmen pemimpin agama di negara ini yang terus konsisten terlibat dalam wacana memartabatkan nilai kemanusiaan demi keharmonian masyarakat dan negara. – MGPerak


