MAKKAH – Selain Lembaga Tabung Haji diiktiraf sebagai agensi pengurusan haji terbaik dunia, jemaah haji Malaysia turut menerima pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi sebagai paling disiplin dan memiliki akhlak terpuji.
Lantaran itu, pengiktirafan tersebut perlu dipertahan dan dikekalkan oleh jemaah haji musim 1447H tahun ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.
Malah, menurut beliau, maktab-maktab Malaysia di Arafah dan Mina juga paling bersih berbanding penginapan mana-mana jemaah dari negara-negara lain.
“Kita digelar manusia paling baik oleh Arab Saudi, kena tolak pun kita cakap alhamdulillah, kena rempuh pun kita cakap alhamdulillah.
“Oleh itu marilah kita sama-sama jaga imej Malaysia sebagai jemaah haji terbaik,” kata beliau semasa pertemuan dengan jemaah haji di penginapan Hotel Al Tayseer hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta semua jemaah haji sentiasa berdisiplin dan menjaga akhlak agar terus menjadi contoh kepada orang lain.
Dalam ucapannya, Zulkifli turut berpesan kepada jemaah supaya sentiasa mengekalkan tahap kesihatan dan keselamatan masing-masing menjelang operasi masyair yang akan berlangsung beberapa hari lagi.
Ekoran suhu Arab Saudi dijangka mencecah 47 darjah Celcius, beliau meminta semua jemaah agar sentiasa mendengar nasihat daripada pakar-pakar dan pegawai perubatan di sini.
“Jangan berpanas, jangan terdedah kepada suhu panas. Fokus melaksanakan ibadah di penginapan masing-masing,” tambahnya.
Zulkifli juga mengingatkan jemaah supaya sentiasa menyuburkan rasa sabar dan ikhlas di minda dan hati untuk menghadapi cabaran semasa masyair nanti.
“Jadikanlah hari wukuf nanti sebagai episod untuk kita berdialog dengan Allah. Kita akan rasa peluang ini hanya di Arafah kerana mungkin inilah kali terakhir kita dapat mengerjakan haji. Jadi nikmatilah keistimewaan haji ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette


