Penerima anugerah diseru jadi suri teladan, terus sumbang bakti

IPOH – Penerima Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak Tahun 2026 diseru supaya terus menyumbang bakti kepada masyarakat serta menjadi suri teladan kepada golongan belia di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengiktirafan yang diterima bukan sekadar penghargaan terhadap pencapaian penerima, sebaliknya perlu dijadikan pemangkin untuk terus memberi sumbangan kepada pembangunan belia dan masyarakat.

Menurutnya, mereka adalah jurucakap kepada 1.8 juta orang belia di seluruh negeri ini (sumber data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

“Saya mahu menegaskan bahawa sumbangan berterusan selepas menerima anugerah ini adalah kunci sebenar kejayaan penerima pada malam ini (tadi).

“Kerajaan negeri berharap agar para pemenang tidak membiarkan trofi ini sekadar menjadi perhiasan di almari, tetapi menjadikannya obor pencetus perubahan dengan melaksana langkah berikut,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan majlis penyampaian APBN dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak Tahun 2026 yang dibacakan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah di M Roof Hotel, di sini malam tadi.

Penerima anugerah diseru jadi suri teladan, terus sumbang bakti
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berucap pada majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak Tahun 2026 di M Roof Hotel Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 28 OGOS 2026.

Saarani berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan belia yang menerima anugerah berkenaan ialah membentuk rantaian bimbingan dengan melahirkan lebih ramai pemimpin muda melalui pendekatan mentoring dan suri teladan.

“Wujudkan rantaian bimbingan (domino effect) dengan membimbing sekurang-kurangnya 10 orang belia baharu di daerah masing-masing untuk menceburi bidang kepimpinan, keusahawanan, atau kesukarelawanan.

“Selain itu, penerima anugerah digesa untuk menggerakkan inisiatif di peringkat akar umbi menerusi pelaksanaan program baharu yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Teruskan mereka cipta program-program baharu di peringkat komuniti kampung dan taman, ama ada projek kelestarian alam sekitar, ekonomi digital, mahupun pembangunan modal insan,” katanya.

Saarani berkata, penerima anugerah perlu memperkukuh jaringan kerjasama antara kelab atau organisasi masing-masing dengan agensi kerajaan negeri bagi memastikan manfaat dasar awam dapat disampaikan secara lebih berkesan kepada rakyat.

Katanya, nilai sebenar sesuatu pengiktirafan tidak terhenti pada pencapaian yang diraikan pada malam penganugerahan, sebaliknya bergantung kepada sumbangan yang terus diberikan kepada masyarakat dalam jangka panjang.

APBN melibatkan tiga kategori iaitu Kategori Individu Lelaki, Kategori Individu Wanita dan Kategori Pertubuhan Belia.

Tempat pertama menerima wang tunai sebanyak RM4,000, tempat kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000, manakala tujuh penerima Anugerah Khas Belia Negeri Perak bagi setiap kategori masing-masing menerima RM2,000, selain trofi dan sijil penyertaan yang diberikan kepada kesemua penerima anugerah. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Insentif RM500 Pra Perkahwinan Anak Muda Perak diperhalusi, sebelum dibawa ke MMK

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI