IPOH – Kerajaan negeri akan memperhalusi cadangan Insentif Pra Perkahwinan Kali Pertama Anak Muda Negeri Perak sebanyak RM500 secara sekali bayar sebelum diangkat untuk pertimbangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
Usul yang dibawa Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi diterima sebulat suara pada Mesyuarat Pertama Tahun Kedua Persidangan Dewan Belia Perak Sesi Kelima yang diadakan baru-baru ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, cadangan itu dilihat sebagai usaha memperkukuh institusi kekeluargaan serta meringankan beban ekonomi golongan muda yang bersedia mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, cadangan itu melibatkan belia berusia 15 hingga 35 tahun sepertimana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Belia 2007 di samping beberapa kriteria lain antaranya anak kelahiran Perak, bermastautin lebih 10 tahun di negeri ini, gabungan pendapatan dan yang berkaitan.
“Ini adalah sebagai satu insentif yang kita rasa amat baik bagi memperlihatkan keprihatinan dan kecaknaan kerajaan negeri untuk memberi sedikit insentif kepada pasangan yang baru berkahwin.
“Bagaimanapun, perkara ini perlu diangkat ke MMK dan Exco yang berkenaan. Kita akan mempertimbangkan untuk menjadi salah satu dasar atau bantuan yang akan diuar-uarkan dalam pengumuman Bajet 2027 (Belanjawan Perak 2027).
“Tapi, ia bergantung kepada kaedah dan juga kelulusan daripada MMK yang akan bersidang. Kelulusan itu akan diketahui sama ada diterima atau tidak semasa pembentangan bajet pada bulan November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) dan Anugerah Khas Belia Negeri Perak Tahun 2026 di M Roof Hotel, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Khairudin berkata, pelaksanaan insentif tersebut dapat menjadi galakan kepada golongan muda untuk mendirikan rumah tangga mengikut saluran yang sah.
“Kita mengharapkan insentif tersebut akan diterima selain daripada 10 usul yang dibawa sebelum ini,“ ujarnya.
Pada persidangan kali ini sebanyak 11 usul dibentangkan dan antara usul yang mendapat perhatian adalah berkaitan insentif tersebut yang disifatkan dekat dengan kepentingan golongan muda.
Antara usul lain yang dibentangkan ialah memperkukuh mobiliti luar bandar melalui sistem pengangkutan awam; memperkasa pembangunan dan kebajikan atlet, insentif Belia Hijau; Perak Youth Wellness Initiative Inisiatif Tani Muda Lestari dan Perak Bersih 2030.
Usul lain yang turut diketengahkan ialah elan Tindakan Belia Pengguna Bijak Negeri Perak; Perak Digital Sentinel 2030; memperkasa pengurusan masjid dan Kad Pelancongan Belia Perak.
Daripada jumlah itu 10 usul telah diterima sebulat suara kecuali usul berkaitan Kad Pelancongan Belia Perak telah ditolak pada persidangan yang diadakan pada 22 dan 23 Ogos lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dewan Belia Perak perluas jaringan, perkukuh peranan anak muda


