LUMUT – Mangsa terakhir yang hilang selepas mandi di Sungai Sempit, Kampung Tanjung Batu Segari di sini, semalam ditemui dalam keadaan terapung pada jam 5.05 petang ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, mayat T Eishwarpillai, 16, ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Mangsa ditemui dalam keadaan terapung selepas air pasang di kawasan sungai tersebut dan teknik membuat olakan air menggunakan bot dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan ringkas petang Selasa.
Terdahulu, mayat mangsa pertama, Chew Darumaraj, 14, ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sekitar jam 9.05 pagi.
Kemudian, disusuli, mayat G Sarath, 16, yang ditemui tersangkut pada jaring nelayan pada jam 12.40 tengah hari.
Semalam media melaporkan, ketiga-tiga mangsa termasuk dua rakan yang lain telah ke lokasi tersebut sekitar tengah hari untuk memancing
Bagaimanapun, ketiga-tiga mangsa dipercayai bermandi manda dan didapati lemas di sungai berkenaan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Operasi SAR tiga remaja dikhuatiri lemas mandi sungai dimulakan
Remaja ditemui lemas, dua lagi rakan masih hilang
Seorang lagi mangsa lemas ditemui tersangkut di jaring nelayan