Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah bawa kestabilan politik, keharmonian negeri – Saarani

IPOH – Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sekian lama diamalkan di Negeri Perak telah berjaya mengekalkan kestabilan politik, keharmonian dan perpaduan dalam kalangan umat Islam sehingga ke hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata perkembangan itu juga memberi kesan dan impak positif kepada negeri itu khususnya dalam mengekalkan keamanan dan kesejahteraan bukan sahaja dalam kalangan umat Islam, malah masyarakat berbilang kaum.

“Dalam konteks masyarakat pelbagai kaum pula, manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah telah terbukti mampu meraikan kepelbagaian bangsa serta agama melalui pembawaan sederhana yang mampu mengimbangi fahaman yang terlalu ketat dan fanatik dengan fahaman yang terlalu longgar dan liberal.

“Ia juga seiring dengan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika merasmikan muzakarah ini semalam, yang mahu umat Islam di negara ini terus mempertingkatkan pemahaman mengenai Ahli Sunnah Wal Jamaah bagi memastikan keharmonian ummah terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Penasihat Undang-undang Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi serta Mufti Perak merangkap Pengerusi Ahli Jawatankuasa Muzakarah, Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika hadir pada Majlis Penutup Muzakarah Sultan Nazrin Shah Tahun 2023 dengan tema ‘Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Al Firqah Al Najiah’ di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

Pada majlis perasmian muzakarah berkenaan pada Rabu, Sultan Nazrin bertitah agar umat Islam di negara ini untuk berusaha memelihara dan meningkatkan kefahaman berkenaan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana ia merupakan usaha penting untuk memastikan keharmonian ummah dijamin.

Baginda juga bertitah umah Islam juga harus dilengkapkan dengan kefahaman yang jelas berkenaan pegangan itu agar mereka lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan pemikiran janggal yang mengundang kebinasaan.

Dalam pada itu Saarani menyeru agar rakyat di negeri ini dapat menyahut titah baginda selain menyifatkan perananan untuk mempertahankan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah merupakan tanggungjawab semua umat Islam.

“Apa yang jelas, berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah suatu pilihan, sebaliknya ia suatu kewajipan sebagaimana yang dianjurkan dalam nas-nas syarak. Ini kerana, ia merupakan satu-satunya manhaj yang diyakini mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada Majlis Penutup Muzakarah Sultan Nazrin Shah Tahun 2023 dengan tema ‘Memperkasa Ahli Sunnah Wal Jamaah Sebagai Al Firqah Al Najiah’ di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 OKTOBER 2023

“Sekalipun para ulama tidak mengatakan ajaran bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai kafir atau terkeluar daripada Islam secara mutlak, namun ia tidak bermakna syarak membenarkan ajaran tersebut harus untuk dianuti,” ujar menteri besar lagi.

Pada majlis penutup, Wan Zahidi menyerahkan ‘Deklarasi Ipoh’ hasil perbincangan dan pembentangan yang disampaikan para pembetang pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung selama tiga hari bermula Selasa.

Deklarasi itu mengandungi tujuh perkara antaranya menyatakan, Ahli Sunnah Wal Jamaah merujuk kepada umat Islam yang berpegang teguh dengan petunjuk Rasulullah SAW dan para sahabat baginda di dalam memahami dan mengamalkan agama Islam; Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah merupakan pegangan majoriti ulama’ dan umat Islam sepanjang zaman semenjak generasi para Salaf dan Khalaf sehingga hari ini; serta Manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah merupakan manhaj yang mengambil pendekatan pertengahan dan seimbang di antara dalil naqli dan aqli serta berpegang dengan kaedah Tafwid dan Takwil bagi nas-nas mutasyabihat. -MG Perak

 

BACA SETERUSNYA:

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI