Ramai lebih percaya ‘Syeikh TikTok, ‘Syeikh ChatGPT’ dari nasihat ulama – Mufti Singapura

IPOH – Mufti Negara Singapura, Dr Naziruddin Mohd Nasir menzahirkan kebimbangan perkembangan teknologi maklumat dan kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ yang dilihat akan menggugat peranan pihak berkuasa agama. 

Menurutnya kebimbangan itu dikhuatiri akan memberi kesan dan impak yang serius terhadap urusan pentadbiran dan kepimpinan agama. 

Justeru katanya, semua pihak tidak mempunyai pilihan sebaliknya untuk bersiap-sedia dalam memperkasakan kepemimpinan agama agar ia dapat menentukan arah serta mencorak masa depan mengikut visi dan wawasan. 

“Ini terutama sekali dalam usaha kita menentukan kesahihan ilmu dan akidah, begitu juga kesannya yang mendalam ke atas kedudukan serta badan kepemimpinan agama sesuatu negara. 

“Lingkungan dan batasan kepemimpinannya akan beralih, bahkan peralihan ini sudah mula terjadi secara beransur-ansur, dan tidak mustahil autoriti agama yang telah lama wujud menjadi lemah dan digantikan dengan pengaruh-pengaruh baru. 

“Sebagai contoh, ramai hari ini lebih senang mencari panduan agama dari ‘syeikh-syeikh’ di TikTok dan Facebook atau Youtube. 

“Mereka lebih mempercayai ‘Syeikh Google’ dan ‘Syeikh ChatGPT’ dari mendengar nasihat dan panduan para ulama dan asatizah tempatan, termasuk juga mufti,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Pembentangan Kertas Kerja Utama pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina Meru Raya, di sini, pada Rabu. 

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim terdahulu berkenan berangkat pada majlis. 

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda, Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Exco Perak yang mewakili Menteri Besar, Khairudin Abu Hanipah; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid serta Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh. 

Dalam pada itu, Naziruddin berkata kepimpinan agama seharusnya memiliki nilai-nilai Islam yang mulia dalam membina keyakinan masyarakat terhadap kewibawaan agamawan. 

Menurutnya kepimpinan agama Islam disifatkan sebagai pengemudi bahtera masyarakat dan seharusnya menjadi contoh dan tauladan kepada masyarakat dari segi etika serta profesionalisme tinggi. 

“Sebagai golongan profesional, kepimpinan agama juga perlu kepada peningkatan berterusan, dengan memiliki keupayaan dan kemahiran baru, khusus di dalam memahami cabaran dan permasalahan yang dihadapi. 

“Seringkali kita dapati golongan agamawan yang memberi pandangan mahupun hukum berkaitan sesuatu perkara yang menunjukkan mereka masih belum lagi memahami isu tersebut dengan baik.

“Sedangkan ini adalah syarat pertama bagi para agamawan. Seperti yang kita maklumi memahami sesuatu adalah sebahagian dari proses menjatuhkan hukum berkaitannya,” ujarnya lagi. – MG Perak. 

BACA SETERUSNYA: Umat Islam harus lindungi Ahli Sunnah Wal Jamaah – Sultan Nazrin

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI