Mansuh AUKU: Akta baharu perlu perkasa autonomi universiti

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik cadangan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi memperkukuh sektor pendidikan tinggi negara.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pembaharuan berkenaan penting bagi memastikan institusi pendidikan tinggi (IPT) terus berperanan melahirkan generasi berilmu, beradab dan berkeupayaan membina peradaban yang disegani di peringkat nasional mahupun global.

Menurutnya, perubahan berkenaan perlu dilihat sebagai satu anjakan besar dalam landskap perundangan pendidikan tinggi negara yang selari dengan agenda Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

“Penggubalan Akta Pendidikan Tinggi baharu perlu bersifat lebih holistik dengan meletakkan kecemerlangan pendidikan tinggi negara serta kemenjadian mahasiswa sebagai antara keutamaan utama.

“Kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi ini berpotensi memperkasakan autonomi institusi yang dapat mendorong kepada kecemerlangan insan, selain memperkukuh peranan universiti sebagai pusat penyebaran ilmu, penyelidikan dan penghasilan inovasi baharu.

“Pemansuhan AUKU tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut kebebasan bersuara mahasiswa semata-mata, sebaliknya perlu turut menekankan aspek tanggungjawab, pembentukan adab, akhlak dan penguasaan ilmu secara holistik selaras dengan tuntutan semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan bagi mengulas cadangan pemansuhan AUKU dan usaha KPT membangunkan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi negara.

Md Amin berkata, semua warga IPT termasuk mahasiswa mempunyai amanah dan peranan penting dalam membina Malaysia yang sejahtera, maju serta disegani di peringkat serantau dan global.

“Akta baharu yang bakal digubal perlu memberikan perhatian serius terhadap aspek ini kerana institusi pendidikan tinggi dan mahasiswanya merupakan cerminan tamadun serta kemajuan sesebuah negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata tadbir urus universiti juga perlu dilaksanakan berdasarkan keutamaan aspirasi negara, keperluan industri dan impak kepada komuniti bagi mewujudkan organisasi universiti yang efektif, matang serta berdaya saing di peringkat global.

Katanya, reformasi pendidikan tinggi yang ingin dilaksanakan perlu bersifat berani dan menyeluruh dengan melibatkan semua pemegang taruh, termasuk kerajaan, mahasiswa, ibu bapa, pentadbir, warga IPT, industri dan masyarakat.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan pendidikan tinggi negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat global,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan mahasiswa dan golongan akademia perlu diberi ruang untuk berani meneroka idea serta wacana baharu, selain menghasilkan ilmu dan inovasi yang memberi impak kepada masyarakat serta manfaat kepada negara.

Katanya, perkara itu selari dengan peranan universiti sebagai pusat pengembangan kecemerlangan ilmu dan pemangkin pembangunan masyarakat.

“UPSI sentiasa terbuka untuk memberikan kerjasama dari segi kepakaran dan pengalaman kepada KPT serta semua agensi yang terlibat dalam membangunkan kerangka perundangan baharu ini.

“Kami akan mengambil langkah proaktif dalam merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memajukan ekosistem pendidikan tinggi demi masa depan negara,” katanya.

Justeru, beliau berharap Akta Pendidikan Tinggi baharu yang bakal digubal dapat menjadi asas kukuh dalam membentuk generasi berilmu yang seimbang dan holistik serta mampu menyumbang secara signifikan kepada kecemerlangan dan kemajuan negara. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PM Anwar umum AUKU akan dimansuh

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI