IPOH – Masih terdapat aktiviti pencerobohan haram oleh nelayan dan pengusaha bot pelancongan yang tidak bertanggungjawab di Pulau Sembilan, di Lumut.
Exco Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, perkara berkenaan dilihat telah mengganggu perkembangan pemeliharaan biodiversiti di situ.
“Faktor kawasan laut yang luas adakalanya menyukarkan pihak berkuasa menangani masalah ini. Misalnya, apabila ada nelayan yang terlihat ada pihak berkuasa sedang melakukan rondaan, mereka akan memotong pukat.
“Ekoran itu, pukat yang dipotong akan jatuh ke dasar laut dan menjejaskan batu karang yang ada. Perkara ini juga dilihat telah mengganggu ekosistem hidupan marin seperti ikan bilis dan kuda laut di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fakhruddin Abdul Aziz (PN-Kamunting) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Banguan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.
Tambah Sze Yee, perkara berkenaan juga dilihat kepada punca usaha pemuliharaan biodiversiti di Pulau Sembilan masih berada pada tahap yang kurang memuaskan.
Katanya lagi, susulan itu juga kerajaan negeri tidak memasarkan Pulau Sembilan sebagai lokasi atau kawasan tarikan pelancongan agar hidupan marin di situ tidak diganggu.
“Di samping itu kita sedang berbincang dengan Kerajaan Persekutuan untuk meluaskan lagi jarak kawasan larangan kemasakan ke Pulau Sembilan. Ia sebagai usaha untuk menguatkuasakan lagi larangan pencerobohan ke pulau tersebut.
“Selain itu, kita berharap agar masyarakat setempat dapat bekerjasama untuk kita bersama-sama memelihara biodiversiti di Pulau Sembilan,” ujar beliau. -MG Perak
Artikel Berkaitan: