Lebih dua tan sampah dikutip di Pulau Sembilan

IPOH – Lebih dua tan sampah berjaya dikutip di perairan gugusan Pulau Sembilan dekat Lumut bersempena dengan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan pada 23 September lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kesemua sampah yang berjaya dikutip terdiri daripada peralatan perikanan atau marin, plastik, aluminium, kaca, serta bahan yang tidak boleh dikitar semula.

Beliau berkata, usaha tersebut diadakan melalui kolaborasi pelbagai pihak termasuk sukarelawan dan penyelam daripada Nature and Oceanography Advocate Society, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam dan Samudera 9 Perak.

“Selain itu, sebanyak 554 kilogram pukat hanyut turut dikumpul melalui aktiviti pembersihan bawah laut.

“Usaha yang sama juga dijalankan pada tahun 2022 dengan hasil kutipan sampah sebanyak 1,428 kilogram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023 di Hotel Casuarina, Meru Raya, di sini, pada Selasa.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Program Hari Konservasi Pulau Sembilan Tahun 2023 di Hotel Casuarina Meru. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 07 NOVEMBER 2023.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim serta Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, inisiatif yang digerakkan Perbadanan Taman Negeri Perak itu sebagai pemula kepada pelbagai rancangan dan program konservasi Pulau Sembilan.

Namun katanya, ia juga adalah antara usaha berterusan bagi memulihara khazanah marin secara lebih khusus di perairan gugusan pulau berkenaan.

Pada masa sama, menteri besar berkata fenomena pantai bercahaya biru pada waktu malam yang digelar ‘Blue Tear’ atau ‘Blue Sand’ hasil daripada Phytoplankton menjadikan Pulau Sembilan sebagai sebuah pulau yang unik.

Malah menurutnya pulau itu juga menjadi ‘syurga’ kepada beberapa spesies kuda laut dan terumbu karang yang sudah hampir pupus.

“Terumbu karang dari jenis diploastrea heliopora yang dikategorikan sebagai hampir pupus masih boleh didapati di Pulau Payung, Pulau Lalang dan Pulau Nipis.

“Keunikan dan keindahan inilah yang menuntut komitmen kita semua untuk sama-sama menyayangi dan memelihara khazanah ini daripada rosak atau musnah angkara perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Sekiranya tidak dijaga dan dipulihara, kekayaan biodiversiti marin di Pulau Sembilan ini sudah tentu akan mengalami kemerosotan dan kepupusan,” katanya lagi. -MG Perak.

Artikel Berkaitan:

Jalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan, lima nelayan ditahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI