TAPAH – Keluarga kepada Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih pada 23 Mei lalu dilihat reda dan tabah menghadapi situasi tersebut serta terus berharap mangsa dapat ditemukan dengan selamat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau sempat bertemu ahli keluarga mangsa yang kini berada di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Op SAR Gunung Batu Putih di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh di sini hari ini bagi mengikuti perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurutnya, keluarga mangsa menunjukkan ketabahan dalam menghadapi ujian berkenaan selain tidak pernah putus harapan agar Jaslinda ditemukan.
“Saya sudah berjumpa famili dia (Jaslinda), ada suami, abang, kakak dan anak-anaknya. Mereka nampaknya bersedia, reda untuk menerima apa juga keadaan.

“Cuma doanya kalau boleh ditemui (mangsa). Itu sajalah. Saya pun nasihatkan mereka supaya tidak putus-putus untuk berdoa,” katanya kepada media selepas menemui keluarga mangsa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Daerah turut menyediakan bantuan keperluan asas kepada keluarga mangsa termasuk makanan dan kemudahan penginapan sepanjang berada di pusat kawalan operasi.
Bagaimanapun katanya, keluarga mangsa memilih untuk berada di surau berhampiran pusat operasi berbanding menginap di inap desa yang disediakan kerana mahu lebih dekat dengan lokasi operasi SAR dijalankan.
“Saya juga memohon kepada umat Islam khususnya untuk mengadakan solat hajat supaya Allah SWT memperkenankan doa kita semoga mangsa dapat ditemui,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:


