TAPAH – Khidmat Tok Batin masyarakat Orang Asli akan digunakan bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian di Gunung Batu Putih dalam usaha memperluaskan pencarian di kawasan terlibat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, setakat ini, semua pihak yang terlibat dalam operasi tersebut masih meneruskan usaha mengesan mangsa sejak dilaksanakan bermula Ahad lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, jika mangsa masih gagal ditemui, pihak berkuasa akan membuat keputusan seperti mana kes melibatkan peserta Gopeng Ultra Trail (GUT), Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang hilang pada Mac 2019.
“Saya dimaklumkan semasa taklimat oleh polis tadi, kita tidak akan berputus asa. Seperti biasa kita ikut prosedurlah. Sebab kita dah bermula pada hari Ahad, jadi sehingga Ahad ini bermakna tempoh seminggu.
“Jika tak berhasil, dia orang akan buat keputusan seperti mana yang telah kita buat sewaktu berlaku di Gopeng.
“Tapi saya berpuas hati tadi mendengar taklimat bahawa semua pihak yang bertanggungjawab, polis, bomba dan semua sekali.
“Saya ingat Tok Batin Orang Asli pun akan turut lepas ini campur tangan untuk melihat, mudah-mudahan (Jaslinda) dapat ditemui dengan selamat, inshaAllah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Op SAR Gunung Batu Putih di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Yusri Mohd Yusoff @ Hashim.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kumpulan pendaki terbabit telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Saya fikir, mereka telah mematuhi SOP sebab kita dah maklumkan tidak ada orang yang dibenarkan memasuki hutan simpan melainkan mereka telah memperoleh kebenaran secara bertulis.
“Ini kerana yang terlibat ni ialah malim, malim ini bermakna orang yang faham dan juga akan sentiasa patuh pada prosedur,” jelasnya ketika mengulas kemungkinan terdapat penambahbaikan prosedur aktiviti pendakian di kawasan hutan simpan.
Sebelum ini media melaporkan, Jaslinda telah menyertai pendakian Trans Spencer Chapman bersama 13 individu lain dan dua malim gunung bermula jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Mangsa bersama seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti daripada kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, Jaslinda dilaporkan meneruskan perjalanan seorang diri ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat oleh malim gunung pada jam 7.30 pagi, Ahad lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Fokus SAR Jaslinda antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu


