Jalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan, lima nelayan ditahan

PARIT BUNTAR – Lima nelayan tempatan termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan di perairan Kuala Kurau, di sini, pada petang Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, penahan melibatkan dua bot nelayan tempatan itu dibuat ketika APMM sedang melakukan rondaan pada kedudukan 3.1 batu nautika Barat Daya dari Pulau Kalumpang.

Katanya, ketika pemeriksaan mendapati empat nelayan berada di bot pertama, dan seorang di bot kedua yang mana kesemua mereka berusia antara 36 hingga 57 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik. Malah bot terbabit disyaki telah melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan, menunda pukat pada jarak bawah lima batu nautika dan bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Mohd Najhan berkata, pihaknya telah merampas 33 unit bubu naga pada kedudukan 1.4 batu nautika Barat Daya dari Pulau Pasir Hitam, Jumaat lalu.

Katanya kesemua bubu naga tersebut ditemukan melalui penanda bendera mencurigakan yang diletakkan sebagai penanda oleh pemiliknya.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 33 unit bubu naga berada di lokasi terbabit dan dinaikkan serta dirampas.

“Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir RM2,500 itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” jelasnya lagi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11 (3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen yang sah. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI