LUMUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia yang terlibat dalam insiden bot karam di perairan Pulau Pangkor diperluaskan ke kawasan membabitkan seluas 343.80 batu nautika persegi.
Operasi memasuki hari ketiga yang disambung bermula sekitar jam 7 pagi itu memberi tumpuan kepada tiga sektor kawasan SAR.
Seramai 33 anggota penyelamat digerakkan pada operasi berkenaan dengan ia membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain melibatkan tujuh aset di laut dan satu di udara.
Pada Selasa, tiga lagi mayat dipercayai mangsa bot membawa PATI warga Indonesia, yang karam di perairan Pulau Pangkor ditemukan.
Ketiga-tiga mayat perempuan itu ditemukan oleh aset TLDM, KD Sri Indera Sakti di tiga lokasi berbeza di perairan berkenaan antara jam 6 petang hingga 7 malam.
Pada sebelah petang, empat mayat terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki ditemukan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Talang, berhampiran Segari.
Dalam kejadian pada Isnin, sebuah bot yang dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia dilaporkan tenggelam di perairan Pulau Pangkor.
Maklumat berkenaan insiden itu diterima kira-kira jam 5.30 pagi selepas seorang nelayan tempatan menemui mangsa terapung di laut sebelum Op Carilamat diaktifkan pada jam 6 pagi.
Hasil siasatan kesemua mereka dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei menuju ke Malaysia, dengan beberapa destinasi termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Empat lagi mayat mangsa bot karam di perairan Langkawi ditemukan


