IPOH – Semua peruntukan yang diterima oleh Pegawai Khas Menteri Besar dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu rakyat pelbagai kaum tanpa mengira latar belakang.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi berkata, sebahagian besar dana yang digunakannya adalah daripada kerajaan negeri selain peruntukan khas daripada pejabat Menteri Besar.
Menurutnya, kawasan DUN Manjoi antara yang mempunyai jumlah pengundi paling ramai di Perak iaitu kira-kira 85,000 orang.
“Sebahagian besar daripadanya merupakan dana yang saya terima daripada pihak kerajaan termasuk daripada YBUDR (Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan) untuk projek-projek di Manjoi ini.
“Cumanya saya tidak simpan duit. Apa orang minta saya bagi, itu yang nampak banyak itu. Besar, kecil, saya bagi semua.
“Alhamdulillah, setakat ini kebanyakan yang saya pohon untuk membantu menjayakan program ataupun permohonan yang dibuat oleh penduduk diluluskan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kabin Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2 di sini pada Selasa.
Katanya, selain peruntukan tersebut, pihaknya turut menerima sumbangan daripada individu tertentu untuk membantu melaksanakan program atau projek di kawasan berkenaan.
Tambahnya, proses kelulusan permohonan adalah sama bagi semua pegawai khas dan bergantung kepada inisiatif masing-masing dalam mengemukakan permohonan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pegawai Khas MB tidak ganggu tugas wakil rakyat pembangkang – Saarani


