LUMUT – Keadaan mayat yang berisiko mengembung serta dihanyutkan lebih jauh antara cabaran yang dihadapi pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia di perairan Pulau Pangkor di sini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak, Mohamad Shukri Khotob berkata, lazimnya mayat yang lemas akan mula terapung apabila memasuki hari kedua daripada hari kejadian.
“Pada kebiasaannya mayat-mayat akan terapung pada hari kedua, dan hari ketiga pula biasanya jika keadaan fizikal badan tidak terurai, badan mangsa masih terapung.
“Tetapi jika keadaan mayat berkenaan telah terurai, ia akan menenggelamkan mayat. Oleh itu ia akan menjadi kesukaran buat SAR kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) Wilayah Satu, Kampung Acheh, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, fokus pencarian kini lebih tertumpu ke arah kawasan utara dari perairan Pulau Pangkor susulan penemuan tujuh mayat mangsa pada hari kedua operasi SAR.
Jelas Mohamad Shukri lagi, terdapat kemungkinan mayat mangsa dihanyutkan lebih jauh berikutan pergerakan arus laut sejak beberapa hari lalu.
“Kalau kita tengok pada hari pertama dan kedua, mayat dijumpai paling jauh sekitar 17.8 batu nautika (dari perairan Pulau Pangkor).
“Jadi berkemungkinan hari ini ia akan pergi lagi jauh mungkin sehingga 25 ke 27 batu nautika dari lokasi yang dipercayai bot mereka karam,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, operasi SAR pada Rabu melibatkan tujuh aset terdiri daripada satu aset di udara dan enam aset laut.

Kata beliau, aset laut itu melibatkan tiga milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dua milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan dua daripada Pasukan Polis Marin.
“Sehingga jam 2.30 petang, masih belum ada penemuan baharu diterima daripada aset-aset yang membuat pencarian di laut,” katanya lagi.
Terdahulu dalam kejadian pada Isnin lalu, sebuah bot dipercayai membawa 37 PATI warga Indonesia karam di perairan berkenaan.
Seramai 23 mangsa berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan, terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita.
Mereka kini ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bagi membantu siasatan lanjut.
Siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia pada 9 Mei lalu dan dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Bot karam di Pulau Pangkor: 3 lagi mayat wanita warga Indonesia ditemukan


