KUALA KANGSAR: Mayat Muhammad Faiz Azam, 33, yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot dinaikinya sewaktu memancing di Sungai Perak, ditemui orang awam pada jam 5.30 petang pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui tersangkut kira-kira 25 kilometer dari lokasi dia dikatakan terjatuh.
“Mangsa dijumpai oleh orang awam pada jam 5.30 petang tersangkut di pulau di Kampung Buaya dan kerja-kerja mengambil mangsa sedang dilakukan,” katanya ringkas pada Sabtu.
Menurut Sabarodzi, operasi mencari dan menyelamat mangsa (SAR) yang diteruskan pada hari kedua pada Sabtu terpaksa dihentikan pada jam 5 petang ekoran cuaca tidak mengizinkan.
“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung pada jam 8 pagi pada Ahad ekoran hujan lebat di sepanjang lokasi pencarian.
“Bagaimanapun sekitar jam 5.55 petang kami dimaklumkan bahawa mayat mangsa telah ditemui oleh orang awam.” katanya.
Terdahulu, MG Perak melaporkan seorang lelaki, dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot dinaikinya sewaktu memancing di Sungai Perak berhampiran Kampung Sungai Jarau, Kati di sini pada Khamis.
Mangsa, dikatakan terjatuh selepas bot yang dinaikinya bersama dua lagi lelaki melanggar batu di tengah sungai sebelum dia terjatuh dan dihanyutkan arus.
Operasi SAR mangsa diteruskan pada pagi Sabtu bermula jam 9 pagi melibatkan 48 anggota penyelamat dan orang awam dan unit anjing pengesan K9. – MG Perak
BACA SELANJUTNYA:
SAR lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Perak diteruskan hari kedua