MBI sasar pembayaran bil cukai taksiran secara digital sepenuhnya menjelang 2027

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyasarkan pembayaran bil cukai taksiran menggunakan aplikasi digital sepenuhnya menjelang 2027 seperti yang dirancang di bawah Pelan Strategik MBI 2021-2030.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata sebagai permulaan, MBI sudah mula tidak menghantar bil secara fizikal kepada pembayar cukai taksiran bermula penggal Julai hingga Disember 2023.

Menurutnya, ini berikutan MBI telah membangunkan aplikasi digital yang dikenali sebagai DMBI pada Januari lalu.

“Pembangunan aplikasi mudah alih ini adalah kaedah mesra alam bagi pengguna untuk mengakses, menerima, menyemak dan membayar bil cukai taksiran tanpa mengira waktu dan tempat.

“Melalui aplikasi DMBI, pengguna yang berdaftar boleh membuat bayaran dalam talian menggunakan sistem FPX dan e-Wallet ia lebih selamat dan cepat dan sistem peringatan/ notifikasi juga disediakan sebagai peringatan kepada pengguna jika terdapat bil terbaru dikeluarkan kepada mereka.

“Sebagai penambahbaikan pada masa akan datang, aplikasi ini juga akan menyediakan modul permohonan bayaran tunggakan cukai taksiran secara ansuran bagi meringankan bebanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran aplikasi DMBI (modul cukai taksiran) MBI, di Dewan Azlan Shah, di sini, pada Rabu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin menunjukkan Aplikasi DMBI (Modul Cukai Taksiran) di Dewan Sultan Azlan Shah MBI. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 15 NOVEMBER 2023.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, hasil dari penggunaan aplikasi DMBI menunjukkan terdapat peningkatan kutipan terimaan bayaran dari cara konvensional (datang dan bayar) kepada kutipan elektronik (dalam talian).

“Setakat hari ini, sebanyak 28,000 aplikasi tersebut sudah dimuat turun melalui aplikasi Google Playstore dan Appstore,” katanya.

Ujar beliau, warga Ipoh yang membuat pembayaran cukai taksiran setahun dan tanpa tunggakan di mana-mana saluran pembayaran MBI serta memuat turun aplikasi DMBI dan mendaftar sebagai penggunalayak menyertai Cabutan Bertuah Tahun 2024.

“Sebanyak 30 hadiah utama ditawarkan termasuk hadiah utama sebuah kereta Perodua Axia 1.0 E (MT), empat buah motosikal 110cc, televisyen pintar (smart tv) 65 inci dan barangan kelengkapan rumah digital dengan nilai keseluruhan bernilai RM99,000,” ujarnya. – MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI