‘Menggeletar saya tengok percikan api, ribut’ – Penduduk Meru 2C

IPOH – Penduduk di Taman Meru 2C menyifatkan kejadian ribut yang melanda di kawasan perumahan mereka pada petang Isnin sebagai antara yang terburuk sejak lebih 10 tahun lalu.

Suri rumah, Siti Syahadah Mohamad Fauzi, 29, berkata, kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, benar-benar mengejutkannya tatkala ada bumbung rumah jirannya diterbang angin sejauh 30 meter.

“Ketika kejadian itu, saya lihat keadaan sangat gelap sehingga ada terdengar bunyi letupan kuat dan terlihat percikan api pada tiang elektrik di rumah berhampiran seperti dipanah petir.

“Angin kuat berlaku kira-kira lima minit sahaja, dan habis siling rumah saya runtuh. Saya tak tahu nak gambarkan perasaan macam mana, sebab sampai sekarang rasa menggeletar,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.

Pelajar sekolah menyiapkan kerja sekolah dalam keadaan bergelap selepas rumah keluarganya yang terjejas akibat kejadian ribut di Taman Meru 2C, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 NOVEMBER 2023.

Sementara itu, suri rumah, Zalina Mohd Zin, 33, berkata, dia tidak menyangka apabila dimaklumkan jiran bahawa rumahnya turut terlibat dengan kejadian ribut itu.

Katanya, setibanya pulang ke rumah dari Kuala Kangsar, dia mendapat bumbung pada bahagian dapur rumahnya hilang keseluruhannya.

“Kami tujuh sekeluarga berada di Kuala Kangsar melawat ibu dan terkejut apabila diberitahu jiran melalui Whatsapp tentang keadaan rumah.

“Ini bukanlah kejadian kali pertama sepanjang tiga tahun tinggal di sini, tetapi tidak sangka rumah kami turut terjejas malah barang kelengkapan rosak dan kerugian dianggarkan bernilai ribuan ringgit,” katanya.

meru 2c ribut ipoh ribut perak ribut taman meru 2c meru 2c ribut ipoh ribut perak ribut taman meru 2cmeru 2c ribut ipoh ribut perak ribut taman meru 2c
Penduduk menjamu selera dalam keadaan bergelap selepas rumahnya terjejas akibat kejadian ribut di Taman Meru 2C, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 NOVEMBER 2023.

Pada masa sama, kontraktor, Mohd Norzi Yusoff, 55, berkata, dianggarkan lebih daripada tiga lorong di kawasan perumahannya itu terjejas akibat kejadian ribut itu.

“Selepas sahaja dentuman guruh berlaku, kawasan kami terputus bekalan elektrik dan menyebabkan kami membersihkan rumah dalam keadaan bergelap,” ujarnya.

Keadaan rumah penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut di Taman Meru 2C, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 NOVEMBER 2023.

Terdahulu Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kinta memaklumkan dianggarkan sebanyak 40 kediaman di Taman Meru 2C terjejas akibat kejadian ribut petang Isnin.

Susulan itu sebuah pusat penempatan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Bandaraya Ipoh di Taman Meru dibuka sekitar jam 8 malam bagi menempatkan sementara mangsa-mangsa yang terjejas. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

40 rumah di Taman Meru 2C, Ipoh, rosak akibat ribut

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI