IPOH – Syarikat multinasional elektonik terkemuka negara, Murata Electronics (M) Sdn Bhd (Murata Malaysia), melancarkan inisiatif penghantaran trak rentas sempadan pertama melalui Singapura, Malaysia dan Thailand, hari ini.
Pengarah Urusannya, Yukio Kishigami berkata, inisiatif tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Ipoh Cargo Terminal Sdn Bhd (ICT) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi melancarkan penghantaran barang-barang mereka melibatkan tiga negara berkenaan.
“Inisiatif tersebut menandakan satu pencapaian penting bukan sahaja untuk syarikat kami tetapi tetapi juga untuk JKDM dan sekali gus dapat membantu mempromosikan Ipoh sebagai hab logistik.
“Setakat ini penghantaran hanya melibatkan perjalanan sehala dari Thailand ke Singapura melalui Malaysia dan kami bercadang untuk meneroka peluang bagi melengkapkan perjalanan penghantaran ini.
“Jika semua perancangan berjalan lancar, kami akan mempertimbangkan untuk mengembangkan perkhidmatan ini ke Vietnam dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pelepasan Penghantaran Trak Rentas Sempadan Pertama oleh Murata menghubungkan Thailand, Malaysia dan Singapura di ICT, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad, Timbalan Pengurus Besar Jabatan Perolehan dan Logistik Murata Malaysia, Shahruniza Mohd Zaferi dan Pengurus Pembangunan Perniagaan ICT, Rosnawati Ramli.
Dalam pada itu, Rosnawati dalam ucapannya memaklumkan, ICT akan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi kecekapan pengendalian dan kemudahan fasilitasi.
Katanya, ia bagi memastikan produk Murata dapat sampai ke pelanggan dengan lebih cepat dan efisien tanpa mengabaikan aspek keselamatan dan kepatuhan undang-undang.
“Pemilihan ICT sebagai hub pergerakan rentas sempadan adalah satu pilihan yang tepat sejajar dengan peranan kami sebagai pintu keluar dan masuk bagi aktiviti import dan eksport ke seluruh dunia dengan proses pengikraran dan deklarasi borang kastam boleh dijalankan di sini.
“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada JKDM Perak atas kerjasama yang diberikan untuk merangka penyelesaian yang mengutamakan efisiensi tanpa mengabaikan pematuhan peraturan yang ketat.
“Usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan kelancaran proses penghantaran, tetapi juga mengukuhkan lagi hubungan dagang di antara Thailand, Malaysia, dan Singapura sekali gus mempercepatkan proses penghantaran barangan antara ketiga-tiga negara,” ujarnya. – MG Perak