SERI ISKANDAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan kes rasuah melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan pasangan bernikah di Thailand turut membabitkan pihak di peringkat tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, susulan itu tiga akaun bank milik tiga suspek termasuk pegawai kanan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dibekukan bagi siasatan lanjut.
“Dan kita hendak mengetahui tentang apa telah berlaku kepada wang yang telah masuk kepada akaun-akaun mereka, dan ke mana telah dibelanjakan.
“Pentingnya juga untuk kita tahu ke mana wang itu pergi, dan siapa lagi yang terlibat dalam skandal ataupun sindiket untuk mendaftarkan mereka yang telah berpoligami ke Thailand dengan cara tidak betul ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Akhir Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM di Universiti Teknologi Petronas (UTP), dekat sini, pada Ahad.
Hadir sama, Naib Canselor UTP, Datuk Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Timbalan Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM), Dr Akmal Khuzairy Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Hazami Jahari.
Mengulas lanjut, Azam berkata, tiada keperluan untuk SPRM menjalankan siasatan bagi mencari punca tindakan pasangan terlibat bernikah di Thailand.
Namun ujar beliau, fokus siasatan tertumpu kepada pendaftaran pernikahan yang dibuat tanpa mengikut prosedur di samping membabitkan wang suapan atau rasuah.
“(Dalam siasatan ini) penting untuk (SPRM menyiasat) mereka yang pulang ke Perlis selepas bernikah di Thailand dan mencari jalan mudah melalui ejen-ejen untuk mendaftarkan pernikahan mereka dengan cara tidak betul,” katanya lagi.
Pada Rabu, media melaporkan tiga individu direman lima hari sehingga 9 Jun bagi membantu siasatan berhubung penerimaan rasuah berjumlah RM1.18 juta dalam pengurusan pendaftaran pernikahan di Perlis sejak April 2022 sehingga Jun tahun lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 25 hingga 52 tahun itu ditahan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di beberapa lokasi sekitar Kangar.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 oleh SPRM Perlis. – MG Perak
Artikel Berkaitan: