OSC Sejahtera Sosial terus berusaha ‘menoktahkan’ kelompok miskin tegar

SERI ISKANDAR – Perak Tengah menjadi daerah ketujuh program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak yang dilaksanakan bagi menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan rakyat negeri ini sejak diperkenalkan November tahun lalu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Datuk Salbiah Mohamed berkata, seramai 387 ketua isi rumah (KIR) di daerah tersebut telah berjaya keluar dari kelompok miskin tegar pada 15 Julai lalu.

Menurutnya, malah setakat Oktober lalu hanya empat KIR yang dikesan berada dalam kategori miskin tegar di daerah berkenaan.

OSC Sejahtera Sosial akan terus berusaha ‘menoktahkan’ kelompok miskin tegar di Perak
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed melawat reruai jualan murah pada Majlis Perasmian Program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak bagi Daerah Perak Tengah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 NOVEMBER 2024.

“Tahun lalu, sebanyak 9,402 KIR direkodkan berada pada garis kemiskinan tegar dan jumlah menurun pada kepada 8,128 KIR sehingga tempoh Februari tahun ini.

“Maknanya ada pengurangan (miskin tegar) dan usaha berterusan yang dilakukan kerajaan negeri menerusi Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) dan kerajaan Persekutuan menerusi 40 agensi termasuk platform OSC ini menjadi satu asas untuk membantu kumpulan miskin tegar ini,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian program OSC Daerah Perak Tengah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah.

OSC Sejahtera Sosial akan terus berusaha ‘menoktahkan’ kelompok miskin tegar di Perak
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan Perak, Datuk Salbiah Mohamed merasmikan Program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak bagi Daerah Perak Tengah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 NOVEMBER 2024.

Dalam perkembangan berkaitan, Salbiah berkata, program OSC akan diteruskan dari semasa ke semasa memandangkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad amat serius untuk menangani isu miskin tegar di negeri ini.

“Penganjuran OSC ini secara tidak langsung dapat mengumpulkan pelbagai agensi pemberi bantuan di bawah satu bumbung, di samping membantu menyelesaikan kes atau memberi bantuan yang bersesuaian kepada peserta e-Kasih dan golongan sasar secara in-situ.

“Selain itu, program ini memudahkan capaian perkhidmatan oleh golongan peserta e-Kasih dan golongan sasar ke atas bantuan yang diperlukan serta dapat melakukan penyelarasan bantuan kepada peserta terlibat bagi mengelakkan pertindihan bantuan,” jelasnya.

Justeru, ujar beliau, rakyat Perak bukan sahaja dapat disejahterakan dari segi ekonomi sahaja malah kesejahteraan sosial.

OSC Sejahtera Sosial akan terus berusaha ‘menoktahkan’ kelompok miskin tegar di Perak
Orang ramai mengambil kotak makanan Yayasan Perak pada Majlis Perasmian Program One Stop Centre Sejahtera Sosial Negeri Perak bagi Daerah Perak Tengah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Perak Tengah, Seri Iskandar. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 NOVEMBER 2024.OSC

Terdahulu, Salbiah menyampaikan cek cura (mock cheque) kepada wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi melaksanakan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) berjumlah RM5.9 juta di 60 buah kampung sekitar daerah berkenaan.

Program tersebut melibatkan sektor pertanian dan makanan (40 kampung) serta pelancongan dan hospitaliti (20 kampung).

Program OSC Sejahtera Sosial Negeri Perak yang kelapan akan diadakan di Bagan Datuk dijangka dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak jadi negeri pertama noktahkan miskin tegar tahun ini

 

 

Ikuti kami di media sosial

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI